Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Lari tertinggal telefon ketika operasi buru orang tak puasa

Demi menyelamatkan diri daripada pihak berkuasa, seorang lelaki sanggup meninggalkan telefon pintar miliknya ketika diserbu penguat kuasa Jabatan Agama Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) dalam Operasi Tidak Sopan di Kota Bharu, hari ini.

Malah lelaki berusia 50-an yang disyaki tidak puasa turut meninggalkan segelas teh o panas yang tak sempat diminum serta sekotak rokok.

Bagaimanapun dia dipercayai sempat menikmati nasi bungkus kira-kira jam 12.30 tengah hari di luar sebuah premis yang dipercayai port judi.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jaheaik, Mohd Fadzuli Mohd Zain berkata, sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa, lelaki itu yang sedang berbual dengan beberapa lagi rakannya terus melarikan diri dan gagal ditangkap.

"Kita telah mengambil beberapa bahan bukti yang ditinggalkan suspek dan memberi nasihat kepada pemilik rumah berbangsa Tionghua agar tidak membenarkan orang Islam masuk ke tempatnya.

"Kita juga menerima laporan tempat ini dipercayai menjalankan aktiviti perjudian dan khidmat mengurut dan saya sempat menasihatkan pemiliknya supaya segera menghentikan aktiviti mereka," katanya.

Operasi Tidak Sopan turut disertai 70 pegawai daripada pelbagai agensi termasuklah Jaheaik; Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI); Jabatan Imigresen; Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI).

Sementara itu, Mohd Fadzuli berkata, operasi bersepadu tersebut bertujuan untuk mencegah perbuatan tidak sopan di bulan Ramadan termasuklah tidak berpuasa dan berpakaian tidak menutup aurat.

Menurutnya, orang yang tidak berpuasa boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 26, Enakmen Kanun Jenayah Syariah No 2 1985 negeri Kelantan yang memperuntukkan hukuman denda RM 500 atau penjara tiga bulan dan bagi kesalahan kali kedua RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya.

"Ini adalah operasi bersepadu kedua yang kita jalankan secara besar-besaran bersama agensi lain di bulan Ramadan ini selepas operasi pertama pada 12 Mei lalu," katanya.

Sementara itu, Mohd Fadzuli berkata sepanjang bulan Ramadan tahun ini sehingga kini sebanyak 18 kes jenayah syariah termasuk khalwat, tidak berpuasa, perbuatan dan pakaian tidak sopan direkodkan.

Lihat Komen
ADS