Isu penggunaan surau atau masjid untuk kegiatan politik tidak berbangkit di Kelantan, kata kata Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Nassuruddin Daud.

"Di Kelantan tak berbangkit isu itu. Di masjid hanya ceramah agama Islam sahaja. Tak ada bercakap (politik) tetapi Islam dan politik tak boleh dipisahkan.

"Kita bercakap soal Islam termasuklah soal politik Islam, tak timbul soal kita ikut orang itu, orang ini. Kita ikut Islam.

"Tetapi lambang politik tak adalah, tak wajar dibawa ke masjid," katanya pada sidang media pada masjlis berbuka puasa Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan bersama media di Kota Bharu, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menegur parti politik supaya tidak menggunakan masjid atau surau untuk aktiviti berbentuk politik.

Sementara itu Nassuruddin berkata, di Kelantan khutbah Jumaat juga diselaraskan untuk semua masjid yang dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (Maik).

"Kita mahu semua orang Islam patuh kepada ajaran Islam, kita ikut al-Quran. Bukan sahaja di bulan Ramadan, bahkan dalam semua keadaan sepanjang hayat kita," jelasnya.