Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Pemuda Amanah menyangkal kenyataan saudara Shahir Adnan, timbalan ketua Pemuda Gagasan Sejahtera yang dianggotai oleh PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia.

Shahir mendakwa Malaysia mengalami kegawatan ekonomi dan “kegawatan ekonomi ini bakal menjadi lebih parah”.

Dakwaan ini bukan sahaja tidak bersandarkan kepada fakta ekonomi yang tepat, malah mempunyai oblique motive untuk menakut-nakutkan pelabur domestik dan asing serta rakyat secara umum yang bermotifkan politik murahan.


Baca: Punca kegawatan ekonomi Malaysia Baru


Gagasan Sejahtera tidak perlu berasa tergugat dengan pencapaian ekonomi negara yang memberangsangkan, seperti mana yang disaksikan pada suku pertama 2019 (1Q19), yang Keluaran Dalam Negara Kasar berkembang 4.5 peratus menurut laporan Bank Negara, mengatasi jangkaan pakar-pakar ekonomi menerusi survei Bloomberg.

Walaupun ada jangkaan serendah 3.9 peratus, namun prestasi ekonomi negara membuktikan sebaliknya.

Bukan itu sahaja, pelaburan langsung asing dan pelaburan portfolio asing menunjukkan prestasi yang cukup membanggakan.

Pelaburan langsung asing yang diluluskan (approved FDI) terbesar dalam sejarah negara pada tahun 2018 dengan nilai “approved FDI” melonjak sebanyak 48 peratus kepada RM80.5 bilion berbanding hanya RM54.4 bilion pada tahun 2017.

Lebih membanggakan, approved FDI dalam bidang pembuatan melonjak lebih 100 peratus kepada RM58 bilion pada 2018, berbanding hanya RM21.7 bilion pada 2017.

Hampir 70 peratus daripada approved FDI dalam sektor ini pada tahun lepas adalah berkaitan projek baharu yang menunjukkan kemampuan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Ibu pejabat IMF di Washington, DC, Amerika Syarikat, gambar hiasan

Pada bulan Mac, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyatakan bahawa “Malaysia’s economy continues to perform well despite external headwinds”, yang bermaksud ekonomi negara masih utuh walaupun dihimpit impak negatif luar negara.

Ketua Ekonomi Bank Dunia (Malaysia), Richard Record telah menyatakan pada awal tahun ini asas ekonomi negara terus kukuh dan stabil.

Record juga menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 4.7 peratus tahun ini, walaupun jangkaan pertumbuhan ekonomi dunia telah diturunkan kepada 2.7 peratus daripada 2.9 peratus.

Rating ‘Big 3’

Malah, agensi-agensi penarafan “Big 3” iaitu Moody’s, Fitch dan Standard & Poor's juga mengekalkan rating mereka terhadap Malaysia dan menjangkakan ekonomi Malaysia kekal stabil untuk masa akan datang.

Agensi Fitch, misalnya, pada bulan Februari lepas menyatakan kadar pertumbuhan Malaysia lebih tinggi daripada kadar median negara-negara lain yang mempunyai rating yang sama.

Berkaitan kedudukan ekonomi rakyat, kerajaan Pakatan Harapan sedang giat melaksanakan pelbagai dasar proaktif untuk mengukuhkan prestasi ekonomi negara dan menjaga kebajikan rakyat.

Dari aspek pengurusan fiskal, kerajaan menetapkan matlamat untuk mengurangkang hutang negara sebanyak RM200 bilion dan mengurangkan jurang defisit negara.

Bukan itu sahaja, kerajaan sedang berusaha keras membawa masuk pelbagai pelaburan asing dengan fokus pada teknologi tinggi, yang akan meningkatkan kuasa pembuatan negara dan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi terutama kepada golongan muda.

Menerusi konsep shared prosperity yang diperkenalkan baru-baru ini oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, kerajaan berhasrat untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara dapat dinikmati dengan adil oleh semua rakyat tanpa mengira kaum dan tingkat pendapatan.

Beban kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat, khususnya B40, terus diberi tumpuan khas oleh kerajaan. Misalnya, petrol RON95 dan diesel untuk minggu 25 Mei hinga 31 Mei 2019 sepatutnya berharga RM2.46 dan RM2.52 seliter masing-masing, tetapi, rakyat hanya perlu membayar RM2.08 (RON95) dan RM2.18 (diesel).

Anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan dalam tempoh seminggu sahaja berjumlah RM126.52 juta.

Kerajaan juga melancarkan home ownership campaign untuk 6 bulan pertama tahun ini bagi menggalakkan pemilikan rumah. Diskaun minimum 10 peratus dan pengecualian duti setem antara insentif kepada rakyat untuk memudahkan mereka membeli kediaman.

Malah, bagi mengukuhkan kewangan negeri-negeri yang kebanyakannya mempunyai sumber pendapatan terhad, perdana menteri mengumumkan kerajaan persekutuan akan memberi peruntukan tambahan sebanyak RM 60 juta kepada semua negeri.

Selain itu, 50 peratus daripada hasil cukai pelancongan juga akan diberikan kepada kerajaan negeri. Kerajaan Persekutuan juga telah membayar sepenuhnya royalti minyak terus kepada kerajaan Terengganu.

Kerajaan Kelantan juga akan menerima royaltinya secara penuh tanpa sebarang diskriminasi, selepas segala proses berkaitan selesai.

Ini membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Harapan tidak menganak-tirikan negeri-negeri yang berbeza politik kerana mengutamakan agenda kesejahteraan hidup rakyat.

Isu sara hidup berlarutan dari era BN

Kerajaan Pakatan Harapan terus komited untuk meneruskan pengurusan ekonomi yang cemerlang dengan mengutamakan kebajikan rakyat.

Namun, perlu difahami juga bahawa selaku negara yang bergantung secara signifikan kepada eksport dan sektor luaran, Malaysia terdedah kepada impak negatif yang diakibatkan di luar negara misalnya kejatuhan harga komoditi seperti getah dan minyak sawit, perang perdagangan Amerika Syarikat-China dan pertumbuhan ekonomi dunia yang semakin perlahan.

Justeru, Gagasan Sejahtera tidak perlu risau mengenai hala tuju ekonomi negara kerana agenda perubahan yang dibawa kerajaan Pakatan Harapan berdasarkan konsep tadbir urus baik (good governance) dan ketulusan dengan pelbagai insentif baru untuk kebajikan rakyat.

Ini meletakkan Malaysia kembali ke landasan yang betul dalam memacu ekonomi negara dan rakyat yang lebih mampan dalam menyelesaikan Isu kos sara hidup yang berlarutan sejak pemerintahan BN.

Namun iltizam yang tinggi dengan dasar pembaharuan ekonomi yang sedang dilaksanakan, ekonomi negara sedang dipulihkan dan dimantapkan dan bukannya menuju kegawatan.


FAIZ FADZIL ialah timbalan ketua Pemuda Amanah merangkap anggota Dewan Undangan Negeri (Adun)Permatang Pasir.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS