Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno K'tan sedia bahagi kerusi dengan PAS dalam PRU15

Umno Kelantan menyatakan kesediaan untuk pengagihan kerusi dengan PAS di negeri itu sekiranya Muafakat Perpaduan Ummah dilestarikan pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 akan datang.

Pengerusi Umno negeri, Ahmad Jazlan Yaakub berkata, dalam memastikan blok pembangkang menentang parti kerajaan dengan pertandingan satu lawan satu - Umno Kelantan akan berlapang dada bagi memastikan kerjasama politik itu berjaya.

Walaupun perkara itu masih di peringkat awal dan belum diputuskan oleh kedua-dua pucuk pimpinan tertinggi parti namun beliau menegaskan semua pihak sudah menjiwai semangat kerjasama tersebut.

"Jadi saya rasa isu pembahagian kerusi tidak menjadi isu besar walaupun penganalisis politik melihat isu agihan kerusi menjadi salah satu halangan dalam membentuk kerjasama ini.

"Sebenarnya silap, yang penting pada kita adalah ahli akar umbi parti faham dengan konsep kerjasama. Sebab di Kelantan, kita (Umno) tidak demand (tuntut) soal kerusi, kita serah pada pimpinan terutamanya Umno dan PAS yang akan memutuskan.

"Kita akan akur, walaupun kita sedar di Kelantan kita hanya ada lapan kerusi DUN dan lima parlimen. Sememangnya kita harap ia kekal dan kalau bertambah kita berterima kasih. Jika sebaliknya (berkurang) kita akan reda," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Moreh bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi), di Kota Bharu, semalam.

Ahmad Jazlan yang juga anggota Parlimen Machang berkata, Umno Kelantan meletakkan keikhlasan dan kejujuran dalam usaha tersebut sekali gus mahu mengelak sebarang kerumitan proses kerjasama yang bakal dilakukan.

Maka dalam soal itu katanya, kepimpinan Umno Kelantan sudah dimaklumkan dan memberi maklum balas yang positif.

"Mereka cukup berlapang dada, jika tidak menjadi calon mereka tidak akan berkecil hati dan bersedia untuk membantu memenangkan blok kita. Kalau satu kawasan itu PAS yang bertanding, kita (Umno) akan bantu habis-habisan.

"Inilah yang dapat kita lihat bahawa pimpinan kita benar-benar ikhlas dalam usaha penyatuan ummah, setakat ini tidak ada rungutan dibangkitkan dalam soal agihan kerusi oleh ketua-ketua bahagian," jelasnya.

Bagaimanapun beliau akui kemungkinan berdepan cabaran tersendiri khususnya desakan daripada penyokong pemimpin tertentu apabila pemimpin mereka tidak dicalonkan.

"Sebab itu kita merancang untuk membuat gerakan untuk memberi kefahaman kepada ahli-ahli akar umbi tentang konsep kerjasama itu dan memperkasakan parti. Kita akan buat siri jelajah dari satu kawasan ke satu kawasan.

"Sekiranya mereka faham tentang perjuangan dan falsafah kita ini, kerjasama tidak akan menjadi cabaran besar. Gerakan memberi kefahaman ini juga akan dilakukan oleh parti PAS kepada penyokong mereka," katanya.

Justeru tambah Ahmad Jazlan, sekiranya satu keputusan mutlak dalam soal kerjasama itu diputuskan oleh pimpinan tertinggi, ahli-ahli akar umbi akan memberi sambutan yang positif.

"Tidak akan ada pertanyaan, persoalan dan tidak akan ada bantahan terhadap keputusan yang akan dibuat oleh jawatankuasa teknikal kedua-dua parti, sebab itu kita kena beri penjelasan dahulu mengenai kepentingannya.

"Apa gunanya penyatuan ummah, apa hala tujunya, matlamatnya apa itu perlu dijelaskan dan kita yakin PAS akan membuat perkara yang sama," ujarnya.

Lihat Komen
ADS