Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) bagi memberi alternatif kepada orang Melayu yang enggan menyertai Umno dan PAS mahupun gabungan seperti PH yang disertai DAP, kata naib presidennya Hamidah Osman.

Hamidah berkata demikian sebagai membalas kenyataan Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob yang menyifatkan penubuhan lebih banyak parti berteraskan Melayu hanya akan memecahkan lagi kaum tersebut.

“Putra ingin menegaskan bahawa parti Putra ditubuhkan atas permintaan ramai agar diwujudkan pentas alternatif kepada kaum Melayu yang ingin memperjuangan agama, bangsa dan negara tetapi tidak mahu menyertai parti Umno atau PAS namun dalam masa yang sama tidak mahu bersama dengan parti Melayu yang bergabung dengan DAP.

“Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa Putra tidak akan sama sekali menggugat atau menjadi punca perpecahan orang Melayu kerana kami juga mahukan parti Melayu memerintah semula Malaysia pada PRU yang ke-15,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Hamidah turut berterima kasih atas pandangan Ismail yang menyuarakan kebimbangannya agar agama Islam dan hak istimewa orang Melayu dipertahankan.

“Putra menyeru kepada semua agar bersama-sama mempertahankan agama Islam dan hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Dan tak perlulah kita memandang rendah antara satu sama lain malahan kita seharusnya saling lengkap melengkapkan demi sebuah perjuangan,” katanya.

Semalam, Ismail Sabri yang juga merupakan naib presiden Umno menyifatkan penubuhan lebih banyak parti berteraskan Melayu hanya akan memecahkan lagi kaum tersebut.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, pihaknya tidak dapat menghalang penubuhan parti lain kerana Malaysia mengamalkan demokrasi.

Pada 8 Mei lalu, Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan permohonan Presiden Perkasa Ibrahim Ali untuk mendaftarkan Putra.

Ibrahim berkata perlembagaan Putra adalah berasaskan kepada Umno lama yang ditubuhkan pada tahun 1946 kerana ia sesuai dengan matlamat penubuhan parti itu.