Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Matrikulasi: Memang latar belakang, pendapatan perlu diambil kira

ULASAN | Bekas menteri besar Johor Mohamed Khaled Nordin - yang telah ditolak rakyat dalam PRU ke-14 - kini cuba menjadi wira kaum dalam isu matrikulasi dan STPM dengan memutarbelitkan pendirian DAP.

Kata naib presiden Umno itu dalam tulisannya yang disiarkan Malaysiakini pada 26 Mei lalu, “program matrikulasi bukan tentang merit akademik secara mutlak dan jumlah A semata-mata”. Tentu dia berharap orang Melayu akan marahkan DAP kerana menganggap parti itu hanya mementingkan merit.

DAP sebenarnya berpegang kepada prinsip menolong orang susah dan golongan memerlukan tanpa mengira kaum, agama atau wilayah. Dalam hal meritokrasi, DAP menegaskan bahawa ia memang penting untuk menentukan kelayakan akademik tetapi tidak memadai jika tidak mengambil kira latar belakang dan pendapatan keluarga pelajar.

Ia juga melibatkan keputusan berasaskan jurang antara kaya dan miskin. Kelayakan ke pusat pengajian tinggi memerlukan gabungan kesemua faktor tersebut.

Kata Khalid lagi: “Benar, merit dan kecemerlangan mesti menjadi nadi pendidikan. Tetapi peluang membetulkan jurang dan memperbaiki diri serta susun atur masyarakat adalah perkara yang tidak boleh diketepikan sama sekali".

Howard Lee

Memang inilah prinsip DAP. Takkan itu pun Khaled sampai sekarang tak faham? Atau sekadar mahu melemparkan fitnah untuk mencari publisiti murahan?

Rakyat tahu dasar DAP dan Pakatan Harapan (PH) ialah untuk mengutamakan golongan terbawah iaitu B40. Ini menuntut kepada perubahan dan reformasi dan pastinya bukan hanya retorik kosong semata-mata seperti yang didakwa oleh Khaled.

Tiada lagi surat sokongan

Kementerian Pendidikan telah pun memulakan usaha mengutamakan golongan B40 dalam pengambilan pelajar ke sekolah berasrama penuh (SBP). Tiada lagi surat sokongan yang mampu membawa anak-anak kroni yang tidak layak untuk masuk ke SBP. Ini jelas menunjukkan dasar berasaskan keperluan akan terus menjadi tunjang kepada dasar kerajaan.

Sedangkan ketika zaman Khaled dan rakan-rakannya dalam Umno dan BN menguasai kerajaan, mereka hanya menjaga kepentingan kelompok elit dan kaya.

Orang Melayu B40 dan rakyat kebanyakan yang tidak mempunyai kabel dan kroni tidak menikmati dasar-dasar yang sepatutnya membela mereka.

Untuk persediaan masa hadapan, kita perlu bertanya sekarang: Apakah STPM dan matrikulasi bersedia membawa golongan mahasiswa kita ke alam yang baru?

Ekonomi global tidak peduli tentang warna kulit, kepercayaan, dan adat resam kita. Jika kita tidak bersedia untuk berubah dalam era Revolusi Perindustrian Ke-4, kita akan jauh ketinggalan.

Kita perlu bersedia, berinovasi dan pantas menerima serta membuat perubahan. Tidak ada makna untuk kita bertegang urat tentang kaum dan bangsa jika Malaysia tertinggal jauh di belakang pentas dunia.

Berdebatlah, tapi...

Perbahasan tentang matrikulasi ini permulaan kepada transisi Malaysia Baru kepada wacana dasar yang lebih segar. Perselisihan pendapat adalah perkara biasa.

Ia juga bermakna kerajaan PH prihatin kepada perubahan - kita tidak pernah dan tidak akan menyembunyikan hakikat yang hodoh dan membisukan suara benar walau ia kurang sedap didengar. Kita tidak akan secara semberono menjalankan dasar yang separuh masak.

Itu cara BN dahulu yang kita tidak mahu ulang.

Cadangan tentang matrikulasi dan STPM yang dikemukakan oleh Pemuda DAP sebelum ini telah disambut baik Menteri Pendidikan. Alangkah baiknya jika Khaled selaku mantan menteri besar turut sama memberikan pandangan bernas, bukannya memesongkan wacana segar yang telah pun dibincangkan sebelum ini.

Era Malaysia Baru meraikan rakyat dan kerajaan untuk memberikan hujah-hujah dan mendebatkan soal dasar. Berhujahlah dengan idea-idea yang lebih membina untuk kepentingan rakyat. Hentikanlah hasutan perkauman.


HOWARD LEE merupakan ketua Pemuda DAP dan Adun Pasir Pinji.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS