Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran membuat laporan polis terhadap seorang individu kerana mendakwa boleh mengatur kelulusan kerajaan bagi pihak wakil rakyat itu dengan bayaran tertentu.
Dalam laporannya yang dilihat Malaysiakini, Rajiv menafikan sebarang pembabitan dirinya dan menggesa pihak polis menyiasat perkara itu.
"Saya membuat lapoan ini hari ini kerana saya prihatin bahawa nama saya mungkin telah digunakan bagi tujuan tidak bertanggungjawab.
"Saya menafikan semua tuduhan terhadap saya kerana saya tidak pernah mengambil sebarang wang.
"Saya menggesa pihak polis mengambil tindakan tegas," kata laporan itu yang dibuat di Balai Polis Daerah Petaling Jaya pagi tadi.
Laporan itu menunjukkan bagaimana seseorang telah menghampiri pejabat Rajiv semalam dan mendakwa telah membayar wakil rakyat itu sebanyak RM62,900 dan individu itu mendakwa dijanjikan lesen perniagaan dari Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Individu itu juga mendakwa lesen itu tidak pernah diberikan.
Individu yang membuat dakwaan berkenaan merupakan ahli parti komponen Pakatan Harapan tetapi tidak memegang jawatan kepimpinan.
Ketika dihubungi, Rajiv memberitahu suatu laporan polis kedua telah dibuat oleh orang yang kononnya mendakwa telah membayar rasuah itu.
"Saya benar-benar tidak merelakan hal ini dan polis perlu mengambil tindakan tegas dengan pantas," kata Rajiv kepada Malaysiakini.
