Mazlan-MB Johor: Belum jumpa cara formal, tapi kita tiada masalah
Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal.
Mazlan, yang juga Adun Puteri Wangsa, sebaliknya berkata, beliau bersedia untuk bekerjasama dengan menteri besar itu bagi kemajuan parti berkenaan.
"Secara formal belum lagi (bertemu) tetapi kita ada berbincang dua tiga kali, saya berjumpa dengan beliau dalam majlis berbuka puasa baru-baru ini, jadi kita tiada masalah.
"Maknanya secara formalnya kita ada pendirian bahawa beliau uruskan hal kerajaan dan saya uruskan hal parti, jadi itu understanding kita," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Hari Raya Aidilfitri Yayasan Bandaraya Johor Bahru, Taman Daya, hari ini.
Mazlan berkata, ketika pertemuan itu, tiada perbincangan secara serius dan mendalam dibuat.
"Kita tidak bincang secara dalaman sebab hal parti tak sama dengan kerajaan. Hal parti melibatkan pengurusan parti, hal keanggotaan dan hala tuju, jadi ia berbeza dengan hal kerajaan," tambah beliau.
Mazlan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin yang mahu beliau berbincang dengan Dr Sahruddin, selaku Pengerusi Bersatu Johor yang baharu, untuk mencari persefahaman demi kelancaran pentadbiran parti dan negeri.
Mazlan, yang juga Ketua Bersatu Bahagian Tebrau, memulakan tugas sebagai Pengerusi Bersatu Johor secara rasminya Sabtu lepas (25 Mei) dan turut mengumumkan pelantikan beberapa anggota jawatankuasa baharu termasuk Setiausaha Mohd Solihan Badri, yang juga Ketua Bahagian Ledang.
Mazlan dilaporkan berkata, Dr Sahruddin turut menolak tawaran untuk kekal menjawat jawatan Setiausaha Bersatu Johor untuk memberi tumpuan terhadap pentadbiran negeri.
Terdahulu pada majlis berkenaan, 332 orang dari golongan yang memerlukan, menerima sumbangan berupa wang tunai RM100 beserta sumbangan bantuan barangan bernilai RM100 daripada Yayasan Bandaraya Johor Bahru.
- Bernama





