Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih manis orang Islam agihkan zakat - Mufti Kelantan

Tindakan wakil rakyat bukan Islam mengagihkan pemberian zakat tidak menjadi satu kesalahan sekiranya mendapat kebenaran daripada pihak pengurusan zakat itu sendiri, kata Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad.

Bagaimanapun katanya, adalah 'tidak manis' bagi bukan Islam berbuat demikian kerana ia memberi gambaran seolah-olah tiada orang Islam layak menguruskan agihan zakat.

"Isu sekarang adalah membabitkan isu pengurusan, ia tidak melibatkan soal hukum.

"Tetapi, lebih beradab dan lebih manis jika orang Islam sendiri yang menguruskan agihan zakat, bahkan amil-amil yang dilantik untuk mengutip zakat juga boleh mengagihkan zakat," katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit mengundang kontroversi apabila bertindak mengedarkan kit bantuan zakat kepada penduduk Islam Ahad lalu.

Chun Kit dalam status dimuat naik di dalam laman Facebook menjelaskan kit bantuan Zakat Pulau Pinang (ZPP) itu diagihkan kepada penerima di Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bangkok Lane dan Kampung Herriot di Pulau Tikus.

Bagaimanapun, tindakannya menyerahkan kit bantuan zakat itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak yang menganggap perbuatan tersebut sebagai mencampuri hal ehwal agama Islam.

Ia kemudiannya mendapat respon Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor yang menjelaskan adalah harus untuk orang bukan Islam diwakilkan sama ada bagi menerima atau mengagihkan zakat kepada golongan asnaf berdasarkan sudut hukum fikah.

Menurut beliau, perkara itu hanya yang berkaitan dengan muamalat dan ibadat maliyah seperti zakat, nazar dan kafarah.

'Tak pernah berlaku zaman nabi'

Bagi pendakwah bebas, Rasyiq Alwi pula tidak bersetuju dengan tindakan bukan Islam melakukan agihan zakat kerana ia membabitkan ibadah dalam Islam.

Jelasnya pada zaman Rasulullah SAW tidak pernah berlaku bukan Islam diamanahkan berbuat demikian walaupun ketika itu terdapat bukan Islam di kota Madinah.

"Saidina Umar al- Khattab pernah menolak usaha lantikan seorang Kristian dalam urusan zakat walaupun dia ada beberapa kelebihan. Ini kerana wujud para sahabat yang mampu mengurus zakat waktu yang sama Saidina Umar enggan urusan Islam dimasuk campur oleh kafir.

"Sebahagian ilmuan yang mengatakan harus mewakilkan orang bukan Islam untuk mengagihkan zakat itu adalah pada keadaan pemilik zakat, iaitu orang yang keluarkan zakat itu sendiri yang wakilkan sendiri kepada orang bukan Islam untuk diagihkan," jelasnya.

Lihat Komen
ADS