Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kosppem: Ada pekerja pembersihan sekolah mula hilang kerja esok
Diterbitkan:  Jun 1, 2019 12:01 PM
Dikemaskini: 5:18 AM

Setiausaha Persatuan Kontraktor Bumiputera Sisa Pepejal dan Pembersihan (Kosppem), Akram Shah Hanishah mendakwa sebahagian pekerja pembersihan bangunan dan kawasan sekolah akan mula tidak ditawarkan kerja esok.

Akram Shah berkata demikian sebagai mengulangi dakwaannya sebelum ini bahawa kira-kira 45,000 pekerja sektor itu bakal kehilangan pekerjaan susulan format tender baru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mula dilaksanakan 1 Jan lalu.

“Sebagai contoh, pekerja di sekolah kebangsaaan seramai tujuh orang dikurangkan kepada tiga manakala di sekolah menengah (dikurangkan) daripada sembilan kepada empat atau lima orang.

“[...] Di negeri ini sahaja (Pahang), diangggarkan 6,000 pekerja semasa dikurangkan sebanyak 50 peratus, bermakna 3,000 orang kehilangan pekerjaan.

“Jika dibandingkan di seluruh negara, pekerja semasa seramai 90,000 orang akan dikurangkan sebanyak 50 peratus menyebabkan 45,000 orang kehilangan punca rezeki,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Tambah Akram lagi, Kosppem telah membuat rayuan kepada KPM supaya mekanisme menang-menang dapat dikaji.

KPM sebelum ini sudah menafikan dakwaan yang dibangkitkan Kosppem Pahang dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.

KPM menjelaskan berbanding format lama yang hanya mengambil kira bilangan pelajar dan keluasan bangunan, format tender baru ini telah ditambah baik.

Katanya, format baru tersebut turut mengambil kira keluasan kawasan, bilangan blok bangunan, jumlah aras keseluruhan bangunan dan bilangan kubikal tandas di setiap sekolah.

Di bawah format lama, bilangan pekerja ditentukan dengan mengambil kira enrolmen murid dan penghuni asrama.

Namun kriteria itu tidak lagi digunakan sepenuhnya bermula 1 Januari lalu.

Format baru itu membabitkan syarikat baru yang menggantikan syarikat yang sudah tamat kontrak mereka pada 31 Disember tahun lalu.

Lihat Komen
ADS