Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dewan peniaga India sambut baik dasar penggantian pekerja asing

Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) menyambut baik keputusan Kementerian Sumber Manusia (KSM) berhubung pembukaan semula dasar penggantian pekerja asing dalam sektor makanan.

Bagaimanapun, dewan peniaga tersebut menggesa kerajaan pusat menimbang semula keputusan membekukan beberapa sub sektor yang secara khususnya berkait dengan peniaga-peniaga India.

"Kami menyambut baik keputusan kerajaan bersetuju dengan pembukaan semula dasar penggantian pekerja asing melalui kaedah Memo Periksa Keluar (Check Out Memo - COM) kepada semua sektor. Dasar penggantian ini akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2019.

"Namun, kami juga berharap kerajaan memberi kelonggaran di beberapa sektor yang kini dibekukan untuk membawa masuk pekerja asing," kata Presiden MAICCI N Gobalakrishnan kepada pemberita dalam satu sidang media di Brickfields, malam tadi.

Menurutnya, tindakan kerajaan terdahulu membekukan sektor perkhidmatan merupakan salah satu punca utama pendatang tanpa izin membanjiri negara.

"Kini negara kita dilimpahi hampir lima juta pekerja asing. Hampir separuh daripadanya tidak mempunyai dokumen yang sah.

"Isu ini dapat dikurangkan sekiranya kerajaan mengamalkan satu mekanisma di mana peniaga-peniaga yang ingin mendapatkan perkhidmatan pekerja asing mohon terus kepada kerajaan," tambahnya.

Katanya, selain membekukan beberapa sub sektor, tindakan kerajaan terdahulu memaksa peniaga mendapatkan pekerja asing melalui ejen, juga salah satu punca pekerja asing tanpa izin membanjiri negara.

"Sebagai contoh, kerajaan terdahulu memberi kebenaran kepada pihak ketiga (syarikat) untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja asing, di mana ejen ini meletak syarat tambahan seperti perlu ambil minimum 10 hingga 20 pekerja sedangkan kami hanya memerlukan lima hingga enam sahaja. Bayaran pun mahal.

"Ini menjadikan banyak peniaga terpaksa menggunakan pekerja asing tanpa izin, manakala yang lain terpaksa gulung tikar kerana kekurangan pekerja asing.

"Jadi, kami nak kerajaan menimbang balik sektor-sektor yang dibekukan agar memberi kebenaran sektor-sektor ini dibuka semula untuk mengambil pekerja asing," katanya.

Antara sektor yang masih dibekukan oleh kerajaan adalah tukang emas, gunting rambut, tekstil, kedai runcit dan industri besi dan logam.

Semalam, KSM mengesahkan bahawa kerajaan PH pada 29 Mei 2019 telah bersetuju memperkenalkan semula dasar penggantian pekerja asing melalui kaedah Memo Periksa Keluar kepada semua sektor.

Lihat Komen
ADS