Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

WAWANCARA | Menjelang perayaan Aidilfitri, perkhidmatan ‘hotel kucing’ sebagaimana tahun-tahun sebelumnya cukup sibuk apabila mendapat sambutan dengan bertambahnya tempahan 'bilik'.

Kebanyakan pemilik kucing yang bakal berhari raya di kampung masing-masing menempah hotel kucing lebih awal sebelum hari raya Aidilfitri.

Menurut Carlos Huertas, hotel kucing miliknya sering penuh setiap kali menjelang Aidilfitri.

“Hotel saya, sentiasa penuh kerana ramai golongan Melayu yang meletakkan kucing mereka di sini (hotel kucing).

“Kami (Carlos) akan menjaga kucing mereka sehingga diambil kembali oleh tuan masing-masing pada waktu yang ditetapkan,” katanya kepada Malaysiakini.

Alternatif penempatan sementara

Hotel kucing merupakan penginapan yang disediakan buat kucing sekiranya pemilik haiwan peliharaan itu mahu menempatkan sementara haiwan peliharaan mereka itu.

Tambah Carlos, dia merasakan hotel kucing adalah satu alternatif terbaik bagi pemilik yang buntu untuk menempatkan haiwan peliharaan mereka sekiranya pulang ke kampung.

“Jika hendak bawa kucing ke kampung, ia pasti memberi banyak masalah, lagi sukar jika perjalanan kampung itu jauh.

“Saya merasakan ini (hotel kucing) dapat membantu mereka yang buntu hendak letak kucing mereka di mana,” katanya yang sudah menjalankan perniagaan hotel kucing itu selama 20 tahun.

Selain itu, Carlos (gambar) juga menjelaskan bahawa setiap kucing perlu dijaga dengan rapi dan diberi layanan yang baik.

“Bagi saya, kucing juga mempunyai perasaan, jadi mereka harus dijaga dengan baik.

“Ini juga adalah amanah yang diberikan oleh pemilik kucing itu,” katanya yang turut mempunyai kucing peliharaan.

Hotel kucing G-Pet di Shah Alam boleh memuatkan lebih 50 ekor kucing lengkap dengan kelengkapan seperti pendingin hawa, sangkar kucing dan perkhidmatan doktor haiwan.

Kata Carlos, pekerja di hotel tersebut juga akan memantau kucing bagi memastikan keadaannya terjaga daripada segi makanan, keselesaan dan kebersihan.

Menurutnya lagi, kemudahan yang terbaik perlu diberikan kepada kucing agar mereka mendapat persekitaran yang nyaman.

“Saya akan menyediakan penempatan yang terbaik buat kucing agar mereka selesa untuk tinggal di hotel.

“Kucing akan berasa kekok jika kita meletakkan mereka di tempat baru, jadi saya akan berusaha untuk meningkatkan fasiliti saya agar mereka (kucing) selesa di tempat baru,” katanya.

Carlos juga mengingatkan segelintir pihak supaya bersifat lebih perikemanusiaan terhadap layanan kepada binatang.

Dia merujuk kepada kes yang kerap terjadi melibatkan cara layanan kasar masyarakat terhadap haiwan.

“Saya tidak faham kenapa wujud manusia yang tidak berhati perut melayan haiwan. Tembak lah, pukul lah.

“Walaupun binatang, mereka tidak patut dilayan sebegitu rupa,” katanya.

Carlos antaranya merujuk kejadian tular seorang lelaki merakam video aksinya menembak monyet kerana tidak memanggil ‘baby sayang’ dan disebarkan ke media sosial.

Lihat Komen
ADS