Isu keselamatan seperti ancaman penculikan terhadap anggota keluarga wakil rakyat adalah antara alasan yang selalu diberikan atas keenganan mereka mengiytiharkan harta.

Bagaimanapu kaji selidik yang dijalankan USCI Poll Research Center terhadap 1,015 responden mendapati rata-rata mereka tidak dapat menerima alasan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif pusat itu, Noppadon Kannika, dalam satu kenyataan berkata kaji selidik yang dijalankan antara 20 hingga 29 Mei mendapati hanya 38.9 peratus responden berpendapat pengisytiharan harta di kalangan penggubal undang-undang adalah satu ancaman kepada privasi.

Sebaliknya, 61.1 peratus daripada responden berkata pengistihran harta merupakan kaedah berkesan untuk menangani amalan rasuah.

"Kajian ini jelas menunjukkan rakyat Malaysia mahukan wakil-wakil rakyat mereka telus dan bebas daripada rasuah.

"Pengenalan undang-undang baru untuk memaksa anggota parlimen dan Adun mengisytiharkan harta mereka pasti akan meningkatkan keyakinan di kalangan pengundi dan membasmi amalan rasuah," kata Dr Noppadon.

Bagaimanapun, kajian itu juga mendapati pemahaman masyarakat terhadap isu itu masih rendah.

Sebagai contoh, 70.1 peratus daripada responden tidak tahu bahawa tiada undang-undang mewajibkan wakil rakyat mengisytiharkan harta mereka.

Pada masa ini, pengisytiharan harta bagi wakil rakyat kerajaan hanya merupakan satu dasar dan tidak termaktub sebagai undang-undang.

Manakala 54.5 peratus responden bersetuju penggubal undang-undang diwajibkan dari segi undang-undang untuk mengisytiharkan aset mereka, 32.9 peratus tidak memiliki pendirian, manakala 12.3 peratus daripada responden tidak bersetuju dengan langkah itu.

Kaji selidik terhadap responden yang dijalankan di kawasan Lembah Klang itu mempunyai margin kesilapan sebanyak 3.59 peratus.