Klimate Action Utara Malaysia (Kaum) mengecam seorang anggota Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Vino Dini Chandragason, kerana didakwa sebagai "kurang pengetahuan" mengenai majlis yang dianjurkan pertubuhan terbabit.

Kata Kaum, mereka tidak pernah mengeksploitasi kanak-kanak seperti didakwa Vino Dini sebaliknya acara yang diadakan bersama Klima Action Malaysia (Kamy) pada 24 dan 25 Mei lalu adalah sebahagian daripada program peringkat global yang diadakan di pelbagai lokasi lain di seluruh dunia.

Dalam kenyataan dikeluarkan Kaum berkata ia dianjurkan Strike Iklim Global yang dimulakan seorang gadis berusia 16 tahun dari Sweden Greta Thunberg.

"Vino mendakwa bahawa kami menggunakan kanak-kanak sekolah untuk agenda.

"Ia menunjukkan anggota MBPP tersebut kurang pengetahuan dengan apa yang berlaku di seluruh dunia.

"Pada hari sama, ratusan ribu kanak-kanak sekolah di seluruh dunia keluar dari bilik darjah masing-masing untuk mendesak kerajaan masing-masing supaya bertindak ke atas isu krisis iklim.

"Kaum dan Kamy mewakili warga muda di Malaysia mahu mempertingkatkan kesedaran terhadap isu alam sekitar dan iklim, terutamanya kepada rakan sebaya kanak-kanak, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sasar projek mega juga

Vino Dini pada Jumaat lalu mempersoalkan kehadiran 11 pelajar sekolah rendah dalam perhimpunan Kaum dan sekutunya di Bazar Ramadan Bayan Baru di Pulau Pinang.

Kata Vino Dini, penganjur mengekspoitasi kanak-kanak demi membantah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang dirangka kerajaan.

Kata Kaum kanak-kanak terbabit menyertai program tersebut selepas mendapat persetujuan daripada ibu bapa masing-masing dan disertai sukarelawan dan ibu bapa.

"Tindakan Vino Dini secara terang-terangan menuduh kami menggunakan kanak-kanak untuk membantah projek mega di Pulau Pinang tidak dapat diterima.

"Kami sangat kecewa kerana beliau tidak menghubungi kami bagi mendapatkan sebarang penjelasan sebelum membuat kenyataan kontroversi yang merosakkan imej kami.

"Motif perhimpunan itu tidak hanya difokuskan kepada PTMP dan projek mega lain," katanya.

[Baca berita penuh]