Penyelaras parlimen Jasin, Khairuddin Abu Hassan menggesa Kementerian Kewangan mengambil pendekatan terbuka dalam mendapatkan semula hutang syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) berjumlah kira-kira RM250 juta.

Ahli Jawatankuasa Komunikasi dan Mobiliti Pakatan Harapan (PH) itu berkata, ini kerana sudah ada syarikat tempatan yang mampu mengambil alih projek syarikat tersebut dan membuat pembayaran dengan jumlah itu.

Katanya, wang tersebut penting untuk kerajaan hari ini yang sedang berdepan dengan kekangan wang.

“Pada realitinya, sudah terdapat sebuah syarikat tempatan yang berwibawa untuk mengambil-alih projek NFC dan membuat pembayaran tunai kira-kira RM250 juta kepada kerajaan.

“Syarikat tempatan berwibawa ini juga mempunyai satu ‘blue print’ yang amat baik bagi terus mengembangkan industri ternakan lembu ke arah menjamin pelan keselamatan makanan dalam negara yang mantap.

“Bagi pendapat saya, asas yang penting adalah kita dapatkan semula sejumlah RM250 juta untuk kerajaan di saat negara menghadapi pelbagai kekangan kewangan ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 22 April Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata sebuah syarikat tempatan berminat untuk membeli dan mengambil alih syarikat NFC bagi membangunkan semula projek ternakan lembu yang gagal ketika pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Salahuddin beberapa siri rudingan telah diadakan dengan pihak tersebut, namun menyatakan NFC hanya boleh dijual jika syarikat itu membayar semula pinjamannya.

Pada 20 Mei lalu, pengerusi NFC, Dr Mohamad Salleh Ismail berkata pihaknya sudah mempunyai pembeli baru sejak 25 Oktober tahun lepas yang bersedia membayar balik sepenuhnya baki pinjaman syarikat itu dalam masa tiga bulan.

Mohamad Salleh berkata, perkara itu juga telahpun dimaklumkan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melalui surat bertarikh 21 Nov 2018.

Khairuddin berkata kerajaan Pakatan Harapan hari ini perlu mengambil pendekatan yang menguntungkan negara serta rakyat, tanpa mengamalkan politik dendam terhadap pentadbiran terdahulu.

“Kerajaan PH harus bersikap terbuka untuk menerima cadangan baru penyelesaian yang lebih menguntungkan rakyat serta negara kita.

“Apa yang saya tidak faham, sudah terdapat sebuah syarikat tempatan yang berwibawa telah menandatangani perjanjian dengan NFC untuk mengambil alih syarikat itu termasuk persetujuan bagi melangsaikan segala hutang piutang kepada kerajaan secara tunai.

“Tetapi ia tidak dipertimbangkan langsung oleh Kementerian Kewangan. Seandainya terdapat kaedah penyelesaian terbaik yang bakal menguntungkan kerajaan, kita harus beri keutamaan daripada terus bersikap hanya untuk menghukum,” katanya.