Seorang lelaki cedera pada muka dan dadanya selepas dibelasah isteri sendiri gara-gara ketagihan berjudi dalam talian.

Dalam kejadian di Kampung Panji di Lahad Datu, Sabah, mangsa dikatakan menegur isterinya yang terlalu leka mencari liputan untuk telefon genggamnya untuk membolehkan wanita terbabit berjudi.

Bagaimanapun teguran tersebut tidak dapat diterima, mendorong wanita berkenaan keluar dari rumah seketika sebelum masuk kembali bersama sebatang besi.

Dia kemudian memukul suaminya sambil mengeluarkan kata-kata kesat terhadap lelaki tersebut.

Menurut laporan BH Online, kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Mangsa kemudian membuat laporan polis selepas pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata wanita berkenaan ditahan pada jam 2 pagi tadi bersama batang besi yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.

Katanya, mangsa berusia 38 tahun manakala suspek 40 tahun. Pasangan terbabit sudah berumah tangga sejak 15 tahun lalu.

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan juga mendapati pasangan itu berkahwin sejak 2004.

Kata Nasri, lelaki tersebut bekerja sebagai pengumpul besi buruk manakala isterinya cuma suri rumah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mencederakan seseorang menggunakan senjata,” katanya.