Malaysiakini
BERITA

Hamid sahkan polis siasat Apandi

Diterbitkan

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mengesahkan pihaknya ada menerima laporan polis yang dibuat terhadap bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali.

"Semua laporan polis yang diserahkan akan disiasat," katanya kepada Malaysiakini.

Abdul Hamid berkata demikian sebagai mengulas laporan polis yang dibuat Anggota Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.

Dalam laporannya Lim meminta polis dan agensi penguat kuasa menyiasat Apandi yang didakwa turut berperanan cuba menutup skandal 1MDB.

Menurut laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pagi 2 Jun, Lim juga berharap bekas ketua pesuruhjaya SPRM serta bekas ketua polis negara disiasat sama.

Bagaimanapun, Abdul Hamid tidak menyatakan siasatan dijalankan mengikut seksyen apa.

Pada 31 Mei lalu, Malaysiakini melaporkan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata Apandi perlu disiasat kerana membantu bekas perdana menteri Najib Razak menutup skandal yang menggemparkan itu.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas Kementerian Dalam Negeri memberitahu kerajaan menarik balik perintah larangan perjalanan yang dikenakan terhadap Apandi.

Sumber SPRM memberitahu Malaysiakini, pihaknya tidak menyiasat bekas peguam negara itu berhubung skandal 1MDB.

Pada bulan Julai 2015, Najib yang menjadi perdana menteri ketika itu melantik Apandi sebagai peguam negara menggantikan Abdul Gani Patail.

Ketika itu, Abdul Gani sedang mengetuai pasukan petugas khas menyiasat wang berbilion ringgit dalam akaun bank Najib.

Najib kini sedang dibicarakan untuk sejumlah pertuduhan berkenaan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Pada Januari 2016, Apandi membersihkan Najib daripada sebarang salah laku.

Beberapa hari selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh, Dr Mahathir Mohamad memaklumkan kepada pemberita yang kerajaan baru menimbang untuk melancarkan siasatan terhadap Apandi dan bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar ekoran tindakan mereka ketika mengendalikan siasatan 1MDB.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.