Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kanak-kanak maut dalam kemalangan awal pagi 1 Syawal
Diterbitkan:  Jun 5, 2019 1:28 PM
Dikemaskini: 5:28 AM

Seorang kanak-kanak perempuan maut setelah kereta jenis Perodua Myvi yang dinaikinya bersama empat lagi anggota keluarga terlibat dalam kemalangan di Sungai Ambat, Jalan Jemaluang, Mersing, dekat Johor Bahru awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, Marisa Az Zahra Mazlan, lapan tahun, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Bapa, ibu dan dua adik beradiknya yang lain yang turut berada dalam kenderaan pula disahkan sekadar mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Mersing Supt, Cyril Edward Nuing berkata kejadian dipercayai berlaku ketika keluarga berkenaan dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Felda Tenggaroh.

Sampai di satu kawasan, kenderaan yang dipandu bapa mangsa dilaporkan hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan.

Polis menyiasat kes itu di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1952.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS