Beberapa laluan terutama menuju ke bandar di Kelantan seperti Tanah Merah, Pasir Mas dan Kota Bharu dilaporkan agak sesak dengan kenderaan berikutan orang ramai menghadiri rumah terbuka, majlis perkahwinan dan membeli-belah.

Tinjauan Bernama hari ini mendapati aliran trafik sangat perlahan di tempat-tempat berkenaan yang mengambil tempoh agak lama untuk sampai ke destinasi.

Di bandar ini kenderaan agak sesak di kawasan pembinaan laluan bertingkat yang menghubungkan bandar Tanah Merah-Pasir Mas dan Machang.

Pembinaan projek terbabit dijangka siap sepenuhnya pada Ogos ini.

Selain laluan terbabit, laluan Tanah Merah-Machang dan Pasir Puteh turut mengalami kesesakan termasuk laluan Pasir Puteh-Machang-Tanah Merah dan Jeli.

Di Kota Bharu kesesakan juga dilaporkan berlaku apabila orang ramai membanjiri Pasar Besar Siti Khadijah dan beberapa bazar membeli-belah yang telah mula beroperasi hari ini.

Di Zon Bebas Cukai di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Pengkalan Kubor di Tumpat bagaimanapun dilaporkan keadaan laluan ke sana masih terkawal walaupun lebih 50 peratus telah membuka gerai jualan mereka.

Laluan keluar seperti Jeli-Gerik, dilaporkan berlaku pertambahan kenderaan namun masih terkawal berikutan cuti lebaran yang panjang sehingga Isnin ini.

Polis Kelantan sebelum ini melaporkan sebanyak satu juta kenderaan dijangka memasuki negeri ini pada sambutan hari raya kali ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan turut menasihati pengguna agar berhati-hati memandu.

- Bernama