Terserah pihak berkuasa dedah tragedi korbankan 4 menteri Sabah
Timbalan Ketua Menteri Sabah Christina Liew berkata terserah kepada pihak berkuasa berkaitan untuk mendedahkan laporan tragedi yang sering dirujuk sebagai 'Double Six' yang mengorbankan sebelas nyawa, termasuklah bekas ketua menteri Sabah, Fuad Stephens, tiga menteri negeri dan seorang pembantu menteri.
Liew dipetik Berita Harian berkata beliau juga telah menyuarakan kepada Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal agar mengubah status dokumen dan rekod mengenai peristiwa itu.
"Bagaimanapun, terpulang kepada pihak berkuasa berkaitan sama ada mereka mahu mendedahkan laporan itu.
"Sudah 43 tahun, saya percaya mereka (pihak berkuasa) pasti mempunyai alasan mengapa laporan itu tidak didedahkan kepada orang ramai,” katanya.
Liew berkata demikian ketika mewakili Shafie pada majlis peringatan Double Six di Sembulan, Sabah hari ini.
Tragedi `Double Six’ yang berlaku pada 6 Jun 1976 melumpuhkan kerajaan negeri apabila pesawat yang membawa lima menteri Sabah itu terhempas.
Selain ketua menteri ketika itu, Fuad Stephens, menteri lain yang terkorban ialah Peter Mojuntin, Salleh Sulong, Chong Thien Vun.
Turut terkorban tiga pegawai tinggi Sabah, Wahid Peter Andu, Dr Syed Hussin Wafa dan setiausaha sulit kepada Tengku Razaleigh Hamzah, Ishak Atan.
Nahas tersebut juga meragut nyawa anak Fuad, Johari Fuad dan pengawal peribadinya, Koperal Said Mohammad serta juruterbang, Kapten Ghandi Nathan.
Peristiwa itu terjadi kurang dua bulan selepas Parti Berjaya diketuai Fuad membentuk kerajaan Sabah selepas menewaskan Usno pada pilihan negeri 1976.
Kejadian helikopter terhempas itu dan keengganan kerajaan persekutuan untuk mengubah status laporan peristiwa berkenaan menimbulkan teori konspirasi.
Ini kerana tragedi itu berlaku pada saat Kuala Lumpur sedang merundingkan supaya Sabah menyerahkan hak terhadap sumber petroleumnya dengan tukaran royalti sebanyak lima peratus.

