Proses rawatan air Loji Rawatan Air Sungai Langat yang terjejas ekoran masalah peralatan penapisan mekanikal telah kembali beroperasi dan penyaluran air terawat ke kolam agihan beroperasi seperi biasa.
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam satu kenyataan menjelaskan syarikat kini dalam proses menstabilkan tekanan dan aliran di sistem agihan bagi mempercepatkan pemulihan bekalan.
“Berdasarkan pemantauan di lapangan sehingga jam 12 tengah hari, kesan gangguan dapat dikurangkan dan bekalan air di kebanyakan kawasan telah kembali pulih,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad.
Kawasan yang terjejas di Kuala Lumpur telah mencapai 89 peratus pemulihan dengan hanya tiga kawasan iaitu Pandan Prima, sebahagian Taman Taman U-Thant dan Taman Tenaga yang masih belum pulih sepenuhnya.
Wilayah Petaling dan Hulu Langat masing-masing mencatatkan pemulihan 100 peratus dan 65 peratus.
"Bagi mengurangkan impak gangguan, bantuan lori-lori tangki air digerakkan secara berterusan dan pihak kami komited bagi memulihkan bekalan kepada pelanggan yang terkesan dan menyalurkan bantuan serta meminimumkan impak gangguan," menurut Syabas, syarikat kumpulan Air Selangor.
- Bernama
