Ismail Sabri mahu letak jawatan PSC
Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berkata beliau akan meletakkan jawatan dalam Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen untuk Pelantikan Jawatan Awam Utama (PSC) selepas Aidilfitri.
Dipetik Oriental Daily, Ismail berkata demikian sebagai respons terhadap tindakan kerajaan tidak melalui jawatankuasa itu dalam pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.
"Ini bukan yang pertama. Pelantikan ketua polis negara dan ketua hakim negara juga tidak melalui jawatankuasa itu," kata Ismail.
PSC merupakan salah satu jawatankuasa yang ditubuhkan Disember tahun lalu sebelum pelantikan ketua hakim negara, ketua polis negara dan ketua pesuruhjaya SPRM.
Dari segi undang-undang, perdana menteri tidak perlu mendapatkan nasihat jawatankuasa itu bagi membuat pelantikan berkenaan. Sementara mandat jawatankuasa itu sendiri dilihat tidak jelas.
Menurut Ismail yang juga merupakan ketua pembangkang dan ahli parlimen Bera, jawatankuasa berkenaan hanya membincangkan pelantikan ketua hakim negara selepas pelantikan dibuat.
Justeru, kata Ismail, jawatankuasa itu seharusnya dibubarkan memandangkan ia tidak mempunyai apa-apa pengaruh.
Menurut Oriental Daily, pengerusi jawatankuasa itu, William Leong akan mengadakan mesyuarat tergempar minggu depan bagi membincangkan langkah seterusnya bagi jawatankuasa berkenaan.
Leong berkata jawatankuasa itu memainkan peranan memantau dan akan melaporkan kepada parlimen.
Seorang lagi ahli jawatankuasa itu, Syed Ibrahim Syed Noh dari PKR turut menyifatkan PSC sebagai tidak mempunyai apa-apa pengaruh.
Susulan pelantikan Latheefa yang dibuat sendiri perdana menteri tanpa melalui PSC, Syed Ibrahim berkata, sekurang-kurangnya perbincangan diadakan dalam kabinet atau majlis presiden PH.
Kata Syed Ibrahim, perbincangan mengenai pelantikan itu perlu diadakan terlebih dahulu kerana pendapat awam yang melihat Latheefa sebagai individu yang mempunyai latar belakang politik yang kuat.

