Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PSC dijangka bincang 'skop' dengan PM minggu depan

Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen untuk Pelantikan Jawatan Awam Utama (PSC) dijangka bermesyuarat minggu depan bagi membincangkan pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM yang hangat dibahaskan ketika ini.

Ahli jawatankuasa itu merencana untuk berjumpa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagi menjelaskan "skop" jawatankuasa berkenaan.

"Kita akan membincangkan apa yang terjadi dengan pelantikan SPRM dan seperti saya maklumkan sebelum ini saya sudah menulis surat, saya akan hantar Isnin ini dan kita akan bincang apa yang perlu dibincangkan dengan perdana menteri," kata pengerusi jawatankuasa itu William Leong kepada Malaysiakini hari ini.

Ahli PSC Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu Malaysiakini bahawa mereka sudah diberikan terma rujukan, namun masih ada beberapa perkara yang belum jelas.

"Kita mahu berjumpa perdana menteri untuk menjelaskan skop jawatankuasa.

"Ada (terma rujukan) tapi masih belum jelas kerana beberapa peruntukan perlembagaan yang perlu dipinda.

"Sebagai contoh, perdana menteri menjadi penasihat kepada Agong. Jadi kalau jawatankuasa ni, kita buat cadangan, apapun kita terpaksa melalui perdana menteri," katanya.

Dengan peruntukan itu, Tuan Ibrahim berkata, cadangan PSC tidak mempunyai pengaruh kerana keputusan masih lagi di tangan perdana menteri.

Kata Tuan Ibrahim, situasi itu merupakan satu masalah kerana jawatankuasa berkenaan bertujuan untuk memutuskan pelantikan jawatan awam utama.

"Jadi kita perlu jelaskan dengan perdana menteri. Jika kita mahu teruskan jawatankuasa ini, biarlah ia berfungsi.

"Kalau tidak, lebih baik kita bubarkan saja," katanya.

Menurut terma rujukan jawatankuasa itu yang turut dilihat Malaysiakini, fungsi jawatankuasa berkenaan adalah untuk meneliti pelantikan jawatan awam utama seperti pelantikan Suhakam, SPR, SPRM dan Jawatankuasa Pemilihan Hakim berdasarkan cadangan kerajaan.

Terma rujukan itu juga menyatakan bahawa ia adalah bagi memastikan pelantikan dibuat berdasarkan merit.

Pengkritik pelantikan Latheefa rata-rata bersetuju perwatakan tegas peguam itu sesuai bagi menggalas tugas berkenaan, namun mempersoalkan latar belakang beliau sebagai bekas ahli PKR yang pernah memegang jawatan dalam parti.

Selain itu, pengkritik juga mempersoalkan cara pemilihan Latheefa yang dibuat oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tanpa berbincang dengan kabinet atau melalui PSC.

 

 

Lihat Komen
ADS