Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Sebuah NGO kini berusaha mengumpul sumbangan untuk didermakan bagi membantu masyarakat Orang Asli suku kaum Bateq di Kuala Koh, Gua Musang yang menghadapi ancaman kesihatan.

Klima Action Malaysia (Klima) berkata mereka merancang mengagihkan bekalan makanan, air bersih dan ubat-ubatan untuk masyarakat Orang Asli berkenaan pada Khamis, 13 Jun.

"Sebenarnya ada 57 keluarga di sana, iaitu sekitar 280 orang dan mereka semua dalam kelaparan kerana tidak mempunyai akses kepada air bersih.

"Apa yang mereka beritahu kita bahawa sumber air di kawasan itu tercemar dan mereka tidak tahu mengapa. Kami merancang untuk pergi ke sana dan membawa ubat-ubatan, makanan dan bekalan air bersih," kata penyelaras Klima, Nadiah Dzulfakar kepada Malaysiakini hari ini.

Turut serta dalam misi itu ialah sekumpulan penyelidik yang akan menguji kandungan air yang dikatakan tercemar.

Menurut Nadiah, Klima juga telah berhubung dengan masyarakat berkenaan sejak sebelum cuti Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Katanya, pihak berkuasa setakat ini masih belum mengambil tindakan meskipun telah berjanji akan menyelesaikan isu itu selepas cuti Aidilfitri.

Justeru Nadiah berkata pihaknya mengambil keputusan membantu Orang Asli yang terjejas.

Klima turut merayu orang ramai menghulurkan sumbangan supaya mereka boleh membeli bekalan makanan dan ubat-ubatan yang diperlukan.

Menurut Nadiah, kempen yang bermula semalam berjaya mengumpulkan hampir RM6,000 kutipan. 

Bagaimanapun Nadiah berkata mereka berharap akan dapat memperoleh lebih banyak bantuan makanan dan ubat-ubatan sebelum 13 Jun.

Kataya, Klima memerlukan makanan seperti beras, gula, garam, teh, kopi, Milo, tepung, ikan bilis, mi segera, minyak masak, biskut, sardin dalam tin dan susu pekat.

Mereka juga menerima ubat-ubatan seperti Panadol untuk kanak-kanak, Panadol Active Fast, ubat batuk dan pelekat luka. 

Barangan tersebut boleh diserahkan ke Masjid Kota Damansara sehingga 11 Jun atau di Bandar Chiku 3, Gua Musang sehingga 12 Jun.

Sementara itu, bagi mereka yang ingin membuat sumbangan boleh berbuat demikian dengan menyalurkannya ke nombor akaun Maybank 162021600931 (Nadiah Dzulfakar).

Baru-baru ini masyarakat Orang Asli di Kuala Koh dilaporkan hidup dalam ketakutan selepas mendakwa 13 penduduk, termasuk seorang bayi berusia setahun, meninggal dunia.

Bagaimanapun, pihak polis menafikan laporan bahawa dua penduduk Orang Asli di perkampungan itu meninggal dunia akibat penyakit misteri pada 29 Mei dan 7 Jun. 

Lihat Komen
ADS