Pemuda Amanah menggesa kerajaan menubuhkan jawatankuasa bertindak untuk menyiasat punca kematian 14 Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang baru-baru ini.

"Pemuda Amanah berharap sebuah jawatankuasa bertindak dapat diwujudkan sesegera yang mungkin bagi meyiasat punca sebenar kematian.

"Sekiranya didapati ada pihak yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan Amanah, tidak mengikut prosedur, salah guna kuasa, tindakan keras perlu diambil agar ia menjadi pengajaran kepada semua," kata Pengarah Biro Alam Sekitar Pemuda Amanah, Asim Abdullah Ainullotfi.

Katanya, pihaknya dimaklumkan bahawa dakwaan kematian tersebut berpunca daripada pencemaran air yang menjadi sumber utama orang asli dari suku Batek berkenaan.

"Ia mungkin disebabkan oleh aktiviti perlombongan dan pembalakan haram yang berlaku disekitar kawasan Kuala Goh sehingga menyebabkan pencemaran air berlaku.

"Sekiranya perkara ini benar, pihak berkuasa yang terlibat perlu mengambil tindakan segera.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam berkata tindakan tegas akan diambil sekiranya kematian berkenaan disebabkan oleh pencemaran sumber air.

Terdapat kekeliruan mengenai jumlah kematian apabila beberapa NGO, termasuk Peka Malaysia menyatakan jumlah mangsa sebanyak 14 orang.

Bagaimanapun, polis dan Jabatan Kesihatan Kelantan hanya mengesahkan dua kematian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorty, yang melawat kawasan berkenaan melalui pembantunya mengesahkan 14 kematian berlaku pada bulan lepas.

Beliau menjelaskan kekeliruan itu timbul kerana bedah siasat terhadap 12 mangsa yang lain masih belum dijalankan.

Bernama hari ini melaporkan angka kematian meningkat kepada tiga orang.

Mereka menunjukkan gejala jangkitan paru-paru seperti mangsa-mangsa lain yang meninggal dunia pada 9 Jun lalu.