Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM pesan penjawat awam patuh pada dasar kerajaan semasa

Penjawat awam tidak patut terikat dengan parti pemerintah tetapi mereka tetap bertanggungjawab mematuhi dan melaksanakan dasar kerajaan yang dipimpin parti pemerintah tersebut, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Sekarang kita mempunyai kerajaan yang lain (baru), Kadang-kadang agak sukar untuk kita mengalihkan kesetiaan daripada kerajaan terdahulu kepada kerajaan baru. Namun oleh kerana kita terima sistem demokrasi... Dan kadang-kadang kerajaan ditukar melalui pilihan raya.

"Jadi kita perlu ingat perkhidmatan awam perlu bebas daripada mengikat diri dengan parti pemerintah. Tetapi pada masa... Apabila mereka bekerja bawa parti pemerintah (yang mentadbir), tugas mereka untuk patuh kepada dasar dan tindakan yang dilakukan parti pemerintah.

"Jika pentadbir awam dapat memisahkan diri daripada ikatan yang terlalu kuat dengan kerajaan yang memerintah tetapi boleh laksanakan tugas sebagai penjawat awam yang berkecuali, saya yakin kita dapat teruskan pentadbiran negara dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan kepada penjawat awam di bangunan setiausaha kerajaan negeri Melaka hari ini selepas mesyuarat bersama ketua menteri Adly Zahari dan exco kerajaan negeri.

Mahathir berkata rakyat Malaysia perlu bersyukur apabila peralihan kerajaan berjalan dengan aman kerana perkara sama di beberapa negara lain biasanya disusuli dengan ketidakstabilan, rusuhan dan malah perang.

"Alhamdulillah ia tidak berlaku di Malaysia dan ini satu kejayaan besar untuk kita.

"Namun apabila parti pemerintah berubah, pentadbir awam hendaklah teruskan kerja mereka dengan berkecuali...menjayakan segala dasar dan tindakan yang diambil oleh kerajaan yang baru memerintah.

"Jika kita dapat lakukannya, kita dapat menjalankan tugas dengan baik, bukan saja membawa kejayaan kepada parti pemerintah tetapi negara," katanya lagi.

Sejak Pakatan Harapan membentuk kerajaan selepas PRU ke-14, Mahathir sentiasa mengingatkan penjawat awam agar kekal berkecuali dan setia kepada kerajaan semasa.

Sebelum ini beliau mendakwa ada di kalangan penjawat awam yang mensabotaj kerajaan kerana setia dengan pentadbiran BN.

Lihat Komen
ADS