Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pejabat Anwar nafi pengerusi PKR negeri belasah penyelidik
Diterbitkan:  Jun 10, 2019 5:10 PM
Dikemaskini: 9:24 AM

Pejabat presiden PKR Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa seorang pengerusi PKR negeri menyerang seorang pegawai penyelidik sehingga mengalami kecederaan serius.

Setiausaha akhbar Anwar, Tunku Nashrul Abaidah berkata pengadu terbabit merupakan penyelidik sukarela yang dikatakan mempunyai masalah disiplin, termasuk penyalahgunaan dadah.

Malah, katanya, individu itu juga telah ditamatkan perkhidmatan kerana masalah yang dicetuskannya.

Tunku Nashrul mengulas laporan Malaysiagazette hari ini bahawa seorang pengerusi PKR negeri disiasat berhubung kejadian itu.

Laporan berita itu menyebut pada mulanya mereka hanya bertengkar mulur sebelum menjadi lebih serius dan bertukar ganas apabila mangsa dikasari dengan teruk.

"Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan mengalami keretakan tulang, selain kecederaan lain.

"Susulan kejadian itu, mangsa bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Petaling Jaya pada 26 Mei lalu dengan melampirkan laporan perubatan dari sebuah hospital swasta.

Bagaimanapun, Tunku Nashrul kata saksi kejadian memaklumkan individu tersebut mempunyai kecederaan lampau dan bukannya disebabkan insiden seperti yang didakwa.

"Saksi di pejabat juga memberitahu individu terbabit masuk ke premis tanpa izin pada hari kejadian.

"Tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku seperti yang diperkatakan individu terbabit," jelasnya.

Tunku Nashrul juga berkata wakil daripada pejabat Anwar telah membuat laporan polis terhadap individu terbabit.

Sementara itu, Malaysiagazette memetik Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat mengesahkan polis telah menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Lihat Komen
ADS