Pemuda PAS sokong pendirian Dr M dalam isu ekstradisi Zakir Naik
Pemuda PAS menyokong tindakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang tidak tunduk kepada permintaan India untuk mengekstradisi pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik ke negara itu.
Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi turut mempersoal tindakan Anggota Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang mempertikai keputusan Mahathir itu.
"Tindakan Ramkarpal mempertikai keputusan Mahathir untuk tidak memenuhi tuntutan ekstradisi kerajaan India adalah sangat tidak wajar.
"Zakir adalah tetamu di Malaysia dan selama beliau berada di Malaysia, beliau tidak melakukan sebarang kesalahan malah kehadiran beliau turut disenangi oleh majoriti rakyat di dalam negara.
"Saya percaya disebabkan status dan kredibiliti Zakir sebagai pendakwah antarabangsa maka perdana menteri membuat keputusan untuk tidak mengekstradisi beliau ke India," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhammad Khalil turut yakin dengan kemampuan dan pengalaman Mahathir bahawa keputusan itu tidak akan menyebabkan berlakunya ketegangan hubungan dua hala di antara Malaysia dan India.
Semalam, perdana menteri membandingkan status Zakir dengan permohonan Malaysia terhadap Australia berkenaan ekstradisi Sirul Azhar Umar, yang disabit atas kesalahan bunuh.
"Sebelum kita terima (permohonan) ekstradisi (dari India), kita perlu tahu apa yang akan berlaku kepada (individu) yang diekstradisi.
"Umpamanya kita mempunyai seorang banduan (Sirul) yang lari ke Australia. Kita minta Australia hantar balik tetapi Australia kata kalau (Sirul) dihantar balik, dia akan kena gantung. Sampai sekarang Australia tak setuju (untuk ekstradisi Sirul).
"Kita juga berhak untuk menentukan orang yang kita hantar balik itu mendapat kehakiman yang adil," katanya kepada pemberita, di Melaka.
Muhammad Khalil juga berkata tindakan Mahathir membuat tindakan sendiri, termasuk isu lantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM, menunjukkan kelemahan anggota kabinetnya.
"Muktakhir ini jika dilihat Mahathir sudah boleh dikatakan membuat dua keputusan yang agak besar tanpa merujuk dulu kepada kabinet.
"Adakah boleh dikatakan kabinet yang ada sekarang lemah dan terdapat anggotanya tidak menepati piawaian sebagaimana yang didakwa hingga Mahathir langsung tidak merujuk kepada mereka?
"Ataupun adakah Mahathir tidak mempercayai sebahagian daripada mereka lalu membuat keputusan sendiri?" soal Muhammad Khalil.

