SPR syor tiada perang poster masa kempen pilihanraya
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencadangkan pengiraan semula undi tidak lagi dilakukan di pusat penjumlahan undi sebaliknya proses itu dijalankan di pusat mengundi bagi menjimatkan masa.
Ia juga mencadangkan agar perang poster tidak lagi dibenarkan bagi mengelak pembaziran serta pergaduhan.
"Jika mendapat kelulusan Parlimen, pada pilihan raya akan datang, tiada lagi pengiraan semula di pusat penjumlahan undi seperti sekarang," kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman kepada pemberita di Pasir Mas malam tadi pada majlis meraikan petugas-petugas SPR yang terlibat mengendalikan pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Pengkalan Pasir yang diadakan 6 Dis tahun lepas.
Mengikut cadangan itu perbezaan peratus undi calon bagi membolehkan pengiraan semula diadakan akan dinaikkan daripada dua peratus kepada empat peratus.
Abdul Rashid berkata keputusan yang diumumkan di pusat penjumlahan undi selepas itu akan dikira sebagai rasmi tanpa sebarang bantahan lagi daripada mana-mana pihak.
"Ini bagi menjimatkan masa. Jika peraturan lama diikuti ia juga menyusahkan banyak pihak seperti polis dan SPR yang terpaksa menyediakan CCTV (siaran tv litar tutup) bagi mengelakkan tohmahan jika pengiraan semula dilakukan keesokan hari seperti yang berlaku di Pengkalan Pasir," katanya.
Beliau berkata cadangan itu diterima baik oleh beberapa parti politik yang berharap ia dapat dilaksanakan segera.
Abdul Rashid berkata SPR berharap undang-undang baru itu dapat dilaksanakan dalam proses pilihan raya negeri Sarawak tidak lama lagi.
Katanya SPR juga mencadangkan agar pada pilihan raya akan datang, satu senario baru akan berlaku apabila perang poster tidak lagi dibenarkan.
"Kita hanya benarkan parti mengadakan ceramah atau rapat umum sahaja tanpa perang poster seperti sekarang," katanya.
Beliau berkata syor itu sebenarnya bagi mengelakkan pembaziran yang keterlaluan kerana sebelum ini ada sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan dan sebuah parti politik mendakwa mereka mendapati parti-parti yang bertanding telah menghabiskan wang RM110 juta pada pilihan raya umum yang lalu semata-mata untuk menyediakan poster.
"Pada pilihan raya di Pengkalan Pasir, parti-parti politik yang bertanding telah membelanjakan hampir RM4 juta untuk poster. Keadaan itu juga mengotorkan persekitaran," katanya.
Abdul Rashid berkata pihak berkuasa juga sukar untuk mengawal keadaan apabila penyokong parti bergaduh dan membuat laporan polis semata-mata kerana poster.
Beliau juga berkata satu mekanisme baru akan diperkenalkan bagi membolehkan parti memperkenalkan calon mereka pada pilihan raya.
"Beberapa negara maju telah mengikut kaedah ini dan mungkin kita hanya akan benarkan bendera parti yang kecil sahaja pada pilihan raya nanti," katanya.
Abdul Rashid juga berkata SPR akan memperkenalkan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi mereka yang mahu mendaftar sebagai pemilih tidak lama lagi.

