Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas IGP cadang elaun kerja lebih masa buat polis
Diterbitkan:  Jun 13, 2019 12:17 PM
Dikemaskini: 5:23 AM

Selain kenaikan gaji, kerajaan juga perlu mempertimbang elaun kerja lebih masa buat anggota polis berpangkat rendah sama seperti penjawat awam lain, kata bekas ketua polis negara Musa Hassan.

Beliau berkata pihak polis pernah memohon agar anggotanya menerima elaun lebih masa mengikut pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam tetapi tidak diluluskan.

“Yang hanya diluluskan (elaun) adalah untuk kakitangan awam kerana mereka bukan anggota beruniform. Walau bagaimanapun, anggota polis berkenaan diberikan elaun kemahiran secara bulanan antaranya elaun pemandu, elaun bahasa, elaun teknikal, elaun kepakaran seperti penyelam skuba, payung terjun dan lain-lain kemahiran diperlukan PDRM.

“Selain itu, anggota tinggal di rumah sewa yang tidak disediakan kuarters kerajaan juga diberi bantuan sewa rumah dan elaun sara hidup masing-masing mengikut kawasan dan negeri mereka bertugas. Jadi, saya bersetuju jika elaun kerja lebih masa diberikan kepada anggota polis berpangkat rendah," katanya seperti dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Menyifatkan anggota polis pangkat rendah sebagai barisan depan dalam berkhidmat kepada masyarakat, Musa berkata elaun-elaun kemahiran tersebut dinaikkan ketika beliau menjadi ketua polis negara, seperti elaun kepakaran yang dibayar antara RM150 hingga RM350.

Menurut laporan itu lagi, purata kerja anggota polis terutama yang berpangkat rendah adalah antara 200 sehingga 300 jam dalam tempoh sebulan, melebihi waktu kerja biasa 120 jam.

Pada 10 Jun lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata gaji, logistik dan keperluan anggota polis berpangkat rendah dalam usaha meningkatkan integriti pasukan itu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan mempertimbangkan cadangan menaikkan gaji anggota polis berpangkat rendah.

Lihat Komen
ADS