Ketua-Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor perlu menerima pelantikan Mazlan Bujang sebagai pengerusi Bersatu negeri, kata Setiausaha Bersatu Johor Mohd Solihan Badri.

Beliau berkata Bersatu Johor ialah komponen penting Pakatan Harapan (PH) yang telah dipilih penduduk untuk membentuk kerajaan negeri dan mereka perlulah merealisasikannya dengan mengukuhkan struktur organisasi, bukannya bermain politik.

“Atas asas itulah, setiap ketua bahagian Bersatu Johor harus menerima pelantikan Mazlan sebagai pengerusi dan menyokong kepimpinan beliau demi kekuatan parti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal sendiri boleh menerima pelantikan Mazlan dan Mazlan pula tiada masalah bekerja dengan beliau dan barisan Exco yang baru dilantik, justeru tiada sebab untuk mana-mana ketua bahagian untuk tidak menyokong Mazlan.

"Pemimpin bahagian yang sebenarnya bertaraf penaja iaitu lantikan oleh Presiden dan Pengerusi Bersatu pusat, harus sedar bahawa ahli akar umbi memerhatikan mereka malah kedudukan mereka terdedah kepada penggantian melalui pemilihan yang akan berlangsung tahun ini.”

Mazlan Bujang

Kenyataan itu susulan laporan The Star hari ini yang mendakwa separuh daripada 26 ketua bahagian Bersatu negeri itu memboikot mesyuarat pertama parti itu sejak Mazlan dilantik menjadi pengerusi.

Laporan itu mendakwa sejumlah ketua bahagian dilaporkan menghantar memorandum kepada pengerusi Dr Mahathir Mohamad agar Mazlan digantikan dengan orang lain.

Mazlan juga tidak menyertai kunjungan ketua-ketua bahagian bagi mengadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sempena Hari Raya Aidilfitri pada 10 Jun lalu.

Mengulas lanjut, Solihan berkata akar umbi tidak akan dapat menyalurkan idea dan mengatur perjalanan parti dengan baik jika wujud keadaan renggang antara peringkat bahagian dengan kepimpinan negeri.

“Jadilah contoh pemimpin yang baik dan setia kepada parti kerana keberadaan kita dalam pentas masyarakat adalah atas platform parti

“Contohilah pendirian Menteri Besar yang mengetepikan sikap peribadi dan kepentingan diri dengan bekerja keras bagi memastikan Bersatu dan kerajaan negeri berupaya menyelesai masalah dan mengangkat kepentingan rakyat, demi kesinambungan pembangunan Johor,” katanya lagi.

Pada awal Mei lalu, Malaysiakini melaporkan pertemuan sebahagian besar ketua bahagian di Johor Bahru bersetuju agar Sahruddin - bukannya Mazlan - dipilih sebagai pengerusi bagi menggantikan Osman Sapian.

Nama Sahruddin tiada dalam senarai pelantikan baru Bersatu negeri yang diumum Mazlan pada 25 Mei lalu, namun ia dikatakan kerana atas permintaan Sahruddin sendiri yang mahu fokus kepada pentadbiran kerajaan negeri.

Bagaimanapun Sahruddin sendiri enggan mengulas lanjut ketika ditanya tentang perkara itu.

Menurut laporan The Star itu lagi, Mazlan maklum berkenaan pertemuan sejumlah ketua bahagian dengan Dr Mahathir tetapi menegaskan beliau mendapat sokongan penuh kepimpinan Bersatu di peringkat pusat.

"Mereka juga telah melantik saya sebagai ahli majlis tertinggi dalam parti," katanya, sambil menyatakan harapan agar semua ketua bahagian dapat melupakan perbezaan dan bekerjasama, apatah lagi menjelang pemilihan parti tidak lama lagi.