Sultan Ibrahim terima kunjungan pimpinan Bersatu Johor
Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan menerima kunjungan ketua-ketua bahagian Bersatu negeri itu di Istana Pasir Pelangi di Johor Bharu.
Bagaimanapun Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang tiada dalam pertemuan tersebut.
Dalam gambar yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim, baginda dilihat diapit oleh Menteri Besar Sahruddin Jamal dan bekas menteri besar Osman Sapian, yang juga bekas pengerusi Bersatu negeri.
Kunjungan itu dua hari selepas Sultan Ibrahim mengundang pemimpin Umno negeri sempena Hari Raya Aidilfitri di Istana Pasir Pelangi.
Sementara Sultan Ibrahim turut bertemu barisan exco kerajaan negeri yang terdiri daripada pemimpin PH pada hari sama, pemimpin parti pemerintah ketika itu berkata mereka tidak tahu tentang sebarang undangan kepada pimpinan parti.
Kunjungan ketua-ketua bahagian Bersatu hari ini merupakan kunjungan sempena Hari Raya pertama melibatkan peringkat parti dalam PH.
Kunjungan hari ini diketuai Sahruddin. Semalam beliau mengumumkan Sultan Ibrahim berkenan untuk mengadakan pertemuan itu.
April lalu, Sahruddin menggantikan Osman sebagai menteri besar manakala Mazlan menggantikan Osman sebagai pengerusi Bersatu Johor.
Selepas itu, Mazlan dan Adun Skudai Tan Hong Pin digugurkan daripada barisan exco.
Rombakan exco itu merupakan syarat yang ditetapkan oleh Sultan Ibrahim terhadap menteri besar baru.

