3 sekeluarga maut terperangkap dalam kebakaran
Tiga sekeluarga maut dalam kebakaran sebuah rumah teres tiga tingkat di Kampung Lindungan, Petaling Jaya awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norizham Mohd Nudin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.47 pagi sebelum mengerahkan anggotanya ke tempat kejadian.
"Pihak bomba bergegas menghantar 20 anggota dan tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya serta Subang.
"Mereka tiba di tempat kejadian 12 minit kemudian.
"Insiden berkenaan membabitkan dua lelaki dan seorang wanita yang didapati telah terperangkap. Seorang daripada mangsa rentung,” katanya ketika dihubungi.
Norizham berkata kebakaran terbabit bermula dari tingkat bawah kediaman itu yang terbakar 100 peratus manakala siasatan awal juga mendapati rumah teres dua tingkat itu telah diubah suai kepada tiga tingkat.
Semangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.
Kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
- Bernama

