Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO lapor polis lori simen langgar penunggang motosikal

Sebuah NGO membuat laporan polis berkenaan sebuah lori simen yang didakwa telah menyebabkan seorang lelaki warga Bangladesh cedera parah dalam satu kemalangan semalam.

Menurut Pengerusi Malaysian Tamilan Today N Shanmugam dalam laporan itu, lori itu dipajak YTL Corp dan keluar dari tapak simen milik syarikat itu di Sentul, Kuala Lumpur, sebelum terlibat dalam pelanggaran dengan lelaki itu yang menunggang motosikal, tengah hari semalam.

Dalam laporan itu, beliau berkata lelaki itu mengalami kecederaan parah di tangan kanan.

"Ini merupakan satu sikap yang tidak harus dicontohi oleh mana-mana syarikat dan kakitangannya. Syarikat YTL harus bertanggungjawab atas insiden ini," katanya dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul tengah hari tadi.

Terdahulu, Shanmugam yang juga ketua cabang PKR Bukit Bintang telah membangkitkan isu tapak simen itu yang dikatakan mengancam keselamatan penduduk sekitar, terutama lima sekolah yang terletak kurang 100 meter radius daripada lokasinya.


Baca: YTL nafi tapak simen di Sentul jejas kawasan sekitar


Ketika dihubungi Malaysiakini, beliau sekali lagi menggesa Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar menimbang semula operasi tapak simen tersebut.

"Kita (NGO dan penduduk sekitar) sudah mengadu banyak kali agar operasi tapak simen itu dihentikan, tetapi masih tiada tindakan daripada kementerian dan DBKL.

"Jangan lihat keuntungan saja, kebajikan dan keselamatan rakyat lebih penting," katanya.

Katanya, penduduk bukan menggesa tapak itu ditutup secara terus tetapi memindahkannya ke lokasi lain.

Isu berkaitan tapak simen milik YTL Corp itu merupakan isu berlarutan yang pernah dibangkitkan pada 2013 oleh Tian Chua yang merupakan anggota parlimen Batu ketika itu.

Pada 22 Februari lalu, Shanmugan mengetuai sekumpulan penduduk di situ menyerahkan memorandum kepada DBKL agar campur tangan dalam isu itu.

Sehari kemudian, YTL dalam satu kenyataan menafikan dakwaan operasi tapak itu menjejaskan kawasan sekitar serta sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Malaysiakini telah menghubungi YTL dan DBKL dan sedang menunggu maklum balas mereka berkenaan perkara ini.

Lihat Komen
ADS