Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan belum bercadang untuk memperkenalkan Indeks Kepuasan Pengguna (CSI) untuk perkhidmatan utiliti di negara ini.

Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak, perkara itu bukan sesuatu yang mudah untuk diputuskan kerana ia mempunyai implikasi kewangan yang besar terhadap kerajaan.Katanya, ia perlu dikaji secara mendalam sebelum sebarang ketetapan dibuat.

"Apa yang anda cadangkan itu mempunyai implikasi yang besar. Kita tak boleh membuat sesuatu ketetapan yang ada implikasi yang amat besar terutamanya dari segi kewangan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia ke-12 (MIFF) di Kuala Lumpur.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan sebuah akhbar semalam mengenai cadangan supaya kerajaan memperkenalkan CSI sepenuhnya untuk perkhidmatan utiliti seperti bekalan air, api, telefon mahupun lebuh raya bertol bagi melindungi kepentingan dan keselamatan pengguna.

Menurut laporan Bernama, indeks itu membolehkan tahap piawaian perkhidmatan diukur oleh sebuah badan bebas dan jika ia tidak menepati standard, para pengguna berhak mendapat pampasan atau rebat.

Cadangan CSI itu dibuat Timbalan Pengarah Institut Pengurusan Alam Sekitar dan Sumber Air (IPASA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Maketab Mohamed, yang menurutnya adalah bagi melindungi pengguna dan ia telah dipraktikkan di negara maju termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Pencemaran toksik

Ditanya mengenai pusat pelupusan sampah Bukit Tagar di Rawang yang didakwa menjadi punca bekalan air bersih di Lembah Klang berbau busuk minggu lepas, Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan memandang serius sebarang perkara yang boleh menyebabkan pencemaran.

Katanya perkara itu telah diserahkan kepada kementerian terbabit untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata kerajaan sentiasa bimbang terhadap apa juga bentuk pencemaran terutama yang disebabkan oleh bahan toksik yang membahayakan kesihatan orang ramai.

Sabtu lepas, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Azmi Khalid mengesahkan cecair yang dilepaskan dari pusat pelupusan sampah Bukit Tagar menyebabkan kandungan ammonia berlebihan dalam air yang dibekalkan kepada sebahagian penduduk Lembah Klang.

Isnin lalu Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Datuk Rosnani Ibarahim pula berkata pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut sama ada pengendali pusat pelupusan sampah itu mematuhi syarat Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) atau sebaliknya, hingga menyebabkan limpahan cecair leachate yang mengandungi ammonia ke Sungai Selangor.