Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perdana menteri adalah k'jaan, kata bekas pengerusi SRC
Diterbitkan:  Jun 17, 2019 9:29 PM
Dikemaskini: 1:29 PM

KES NAJIB | Bekas Pengerusi Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau mengaitkan perkataan “kerajaan" dengan perdana menteri Najib Razak.

Saksi pendakwaan ke-39, Ismee Ismail, 54, hari ini bertikam lidah dengan peguam Najib, Harvinderjit Singh mengenai perkataan "kerajaan" yang mana saksi itu bertegas menyatakan pendiriannya bahawa dalam pemikirannya, Najib adalah kerajaan.

Merujuk kepada kenyataan saksi yang dibacakannya pada 10 Jun, Ismee berkata beliau pernah membangkitkan isu mengenai tadbir urus SRC dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil, yang selalunya akan mengatakan perkara yang dibangkitkan itu telahpun dibincangkan dan dipersetujui oleh “kerajaan”.

"Pada pendapat saya, 'kerajaan' yang dimaksudkan oleh Nik Faisal itu adalah Najib," tambah beliau.

Harvinderjit menegaskan bahawa perdana menteri seorang diri tidak melambangkan kerajaan kerana ia melibatkan keseluruhan jentera (kerajaan).

Harvinderjit: Pada Ogos 2011, Nik Faisal berkata perkara-perkara dalam SRC dimudahkan oleh Kementerian Kewangan (MoF) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU), kelulusan datang daripada Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc).

Jika Nik Faisal kata perkara-perkara ini telah diputuskan oleh kerajaan adakah kamu bersetuju bahawa ia tidak diputuskan oleh Najib (sendirian) tetapi diputuskan di peringkat kerajaan sama ada oleh MoF, EPU, atau MoF Inc?

Ismee: Kami semua tahu bahawa kerajaan adalah Perdana Menteri….

Harvinderjit: Tetapi ia tidak menyiratkan bahawa kerajaan adalah Perdana Menteri kerana kerajaan itu bukan sahaja Perdana Menteri, keputusan-keputusan perlu melepasi keseluruhan jentera (kerajaan).

Ismee: Setahu saya ia (kerajaan)(adalah) Perdana Menteri… Apabila perkataan ‘kerajaan’ disebut, dalam fikiran kami (lembaga pengarah) apa yang kami faham ia merujuk kepada Perdana Menteri.

Saksi itu juga bersetuju kepada cadangan Harvinderjit bahawa tingkah laku Nik Faisal jelas menunjukkan beliau tidak berlaku jujur dengan lembaga pengarah dalam beberapa perkara berkaitan perniagaan syarikat.

Harvinderjit: Pengeluaran sebahagian daripada pinjaman, pemindahan wang pinjaman dari akaun SRC dan kemudiannya pengeluaran sebahagian daripada pinjaman kedua dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) tidak ditunjukkan kepada lembaga pengarah (oleh Nik Faisal)?

Ismee: Tidak.

Harvinderjit: Kamu bersetuju atau tidak ini satu penipuan serius oleh Nik Faisal?

Ismee: Ya.

Najib, 66, menghadapi tiga tuduhan pencah amanah jenayah, satu tuduhan menyalahgunakan kuasa dan tiga tuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

- Bernama

Lihat Komen
ADS