Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenyataan Hadi naif, menghina, kata Pemuda Amanah
Diterbitkan:  Jun 18, 2019 11:45 AM
Dikemaskini: 3:45 AM

Pemuda Amanah menyelar Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mendakwa bahawa 30 peratus pemuda yang mengundi Pakatan Harapan pada pilihan raya 2018 tidak mengaji Quran.

"Ini adalah kata-kata yang naif dan menghina terhadap golongan pemuda intelektual di negara ini," kata Faiz Fadzil dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, PAS bertindak seolah-olah ia tidak mengiktiraf kebijaksanaan dan kematangan yang ditunjukkan oleh belia dalam amalan demokrasi dalam mengusir pentadbiran BN secara aman.

"Golongan belia membuat keputusan itu selepas bosan dengan kerajaan yang sebelum ini rosak dan krisis ekonomi yang memberi impak kepada mereka.

"Keputusan berani mereka untuk menyelamatkan negara dari BN menunjukkan bahawa mereka sangat intelektual," katanya.

Faiz yang juga Adun Permatang Pasir turut mendakwa PAS menyebarkan sentimen perkauman.

"Kitab perkauman yang dibawa oleh PAS mesti ditolak secara menyeluruh oleh golongan pemuda.

"Sentimen perkauman yang didokong oleh PAS bersama sekutu terbaru Umno akan (hanya) menambahkan kebencian kaum yang mengancam keharmonian dan ekonomi negara, " katanya.

Tambahnya, kerjasama PAS dan Umno berdasarkan agenda perkauman sebaliknya bukan dari segi ekonomi dan rakyat, tidak akan memberi manfaat kepada negara.

Hadi dikritik selepas menyatakan bahawa golongan belia yang berminat terhadap gabungan PH pada pilihan raya umum yang terakhir adalah kerana tidak mengaji al-Quran.

Presiden PAS itu juga mendakwa golongan belia ini tidak belajar agama, tetapi hanya mempelajari telefon bimbit mereka, Facebook dan WhatsApp.

Lihat Komen
ADS