Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menjelang muktamar PAS, Hadi ingatkan tentang walak
Diterbitkan:  Jun 16, 2019 8:25 PM
Dikemaskini: 12:25 PM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengingatkan semua ahli partinya tentang pentingnya walak atau kesetiaan serta ketaatan kepada pucuk pimpinan.

Abdul Hadi memberi peringatan itu ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia ke-59 di Bukit Gambang City, Pahang, semalam.

Jelas Abdul Hadi, seseorang pemimpin lebih mengetahui perkara yang tersirat dalam politik berbanding ahli parti.

Beliau memetik sejarah perjanjian Hudaibiyah di antara orang Islam dengan Quraisy yang dilihatsebagai berat sebelah.

"Para sahabat melihat perjanjian itu berat sebelah yang mana lebih menguntungkan pihak Quraisy, bagaimanapun Rasulullah SAW menyuruh sahabat mengikut kehendak mereka.

"Hal ini kerana Rasulullah lebih mengetahui perkara yang tersirat walaupun perjanjian itu berat sebelah, tetapi sahabat hanya mengetahui perkara tersurat sahaja," katanya seperti dipetik Harakahdaily.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata hikmah di sebalik itu, kota Mekah dibuka oleh orang Islam apabila pihak Quraisy melanggar perjanjian yang telah dibuat.

Abdul Hadi bakal mengekalkan jawatan sebagai presiden selepas diumumkan menang tanpa bertanding dalam pemilihan Muktamar PAS ke-65.

Muktamar Tahunan PAS ke-65 yang juga akan menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan parti itu akan akan berlangsung di Kuantan, Pahang pada 19 hingga 22 Jun ini.

Lihat Komen
ADS