Diva pop negara, Siti Nuhaliza akan mengakhiri zaman bujangnya tidak lama lagi. Walaupun penyanyi nombor satu Malaysia itu masih mahu terus "bermisteri" namun satu negara sudah tahu siapa calon suaminya.

Siti, 27, sendiri mengakui dirinya sedang dilamun cinta. Meskipun enggan berterus terang siapa jejaka idamannya, namun Siti mengakui dia sudah cukup matang dan dewasa untuk membincangkan soal jodohnya.

Walaupun penyanyi berasal dari Kula Lipis, Pahang ini tidak mengesahkannya namun "satu Malaya" tahu siapa gerangan calon suaminya. Siti dikatakan sedang hangat bercinta dengan tokoh korporat berasal dari Kedah, Datuk Khalid Muhd Jiwa yang juga dikenali sebagai "Datuk K".

Dengan sikap Siti yang semakin berani dan terbuka memperkatakan soal hati dan perasaannya kebelakangan ini, para penggosip dalam dunia hiburan tanahair yakin tarikh perkahwinannya semakin hampir.

Isnin lalu di majlis "Breakfast With The Star" di Kuala Lumpur, Siti yang secara terbuka mengakui hati sudah dimiliki tidak menafikan "Datuk K" adalah lelaki yang bertakhta di hatinya sekarang.

Datuk K dilaporkan telah beberapa kali menghadiri majlis yang disertai Siti. Kali terakhir ialah di majlis Malam Amal Kasih anjuran Ace Event Management Sdn Bhd di ibukota beberapa minggu lalu.

Beliau yang dikerumuni wartawan selepas majlis itu bagi mendapatkan ulasannya mengenai hubungannya dengan Siti telah bingkas meninggalkan dewan sambil meminta media menghormati majlis amal berkenaan.

Pada tahun lalu heboh diperkatakan "Datuk K" turut muncul di Royal Albert Hall, London menyaksikan konsert Siti.

Sementara itu Khalid memberitahu akhbar Utusan Malaysia hari ini bahawa dia akan membuat kenyataan terbuka berhubung gosip cintanya dengan Siti tidak lama lagi.

"Nantilah...saya akan panggil semua media cakap, pasal benda ini.....nanti-nantilah," katanya.

"Datuk K", duda beranak tiga adalah Pengerusi Ace Group of Companies. Beliau terbabit dalamm perniagaan hartanah dan pengedaran kenderaan mewah.

Andainya hubungannya dengan "Datuk K" berakhir di jinjang pelamin, kemungkinan besar banglow mewah di Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor yang dikatakan bernilai lebih RM4 juta yang dihuni oleh "Datuk K" kini akan menjadi rumah baru Siti Nurhaliza Tarudin.