Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP persoal kaji selidik subjek agama libatkan orang bukan Islam
Diterbitkan:  Jun 18, 2019 4:45 PM
Dikemaskini: 8:47 AM

Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Mohd Khairuddin Aman Razali mempersoalkan kaji selidik awam oleh Kementerian Pendidikan berkenaan penambahbaikan mata pelajaran Pendidikan Islam sekolah rendah yang pada mulanya turut mengundang orang bukan Islam.

Beliau turut menyasarkan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching yang berkongsi makluman itu di laman Facebooknya.

"Saya menyokong usaha menambah baik mata pelajaran pendidikan Islam... (Namun) melibatkan orang bukan Islam dalam perkara seperti ini hanya menunjukkan Teo membuka ruang seluasnya kepada orang bukan Islam untuk campur tangan dalam urusan orang Islam.

"Adakah ini usaha peribadi beliau atau inisiatif rasmi kementerian? Jika ia inisiatif rasmi mengapa bukan menteri sendiri (Dr Maszlee Malik) mengumumkannya?" soalnya dalam kenyataan hari ini.

Khairuddin yang juga anggota parlimen Kuala Nerus menggesa kementerian pendidikan menjelaskan sama ada penglibatan orang bukan Islam hanya untuk tinjauan tersebut atau turut terlibat dalam Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI).

Semakan di laman rasmi Kementerian Pendidikan mendapati frasa "tanpa mengira agama dan bangsa" - seperti yang dikongsi di media sosial - sudah dipadam dalam makluman itu.

Sebaliknya makluman itu hanya menyebut "individu, kumpulan dan institusi" untuk mengemukakan cadangan dalam kaji selidik itu.

'Hanya kongsi makluman'

Semalam Teo menerusi hantaran Facebook berkongsi makluman itu namun terdapat sejumlah pihak yang salah faham dan menganggap hantaran tersebut daripada beliau sendiri.

Hari ini, beliau menyatakan kekesalannya kerana niatnya untuk menghebahkan usaha Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang bertanggungjawab menjalankan kaji selidik itu telah disalah tafsir.

"Semalam saya telah berkongsi satu kaji selidik tentang mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan yang sedang dilaksanakan kementerian di Facebok saya.

"PPKPI telah ditubuhkan di bawah MPPK dipimpin oleh Tan Sri Wan Mohd Zahid Mohd Noordin yang merupakan mantan ketua pengarah pendidikan. Keahlian MPPK dilantik sendiri oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik," katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, tuduhan bahawa beliau cuba campur tangan dalam urusan mata pelajaran Pendidikan Islam tidak berasas dan secara tidak langsung satu fitnah kepada MPPK.

"MPPK adalah badan bebas bagi mengkaji Dasar Pendidikan Negara tanpa campur tangan politik... Saya dengan rendah hati memohon maaf kepada MPPK atas salah faham ini," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS