Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelajar dipercayai tikam guru direman 5 hari

Seorang pelajar lelaki yang dipercayai menikam bahu guru kaunselingnya dalam satu kejadian di sebuah sekolah menengah berasrama penuh di Banting Ahad lalu, direman lima hari mulai hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Azizan Tukiman berkata suspek yang berusia 17 tahun itu direman bagi membantu siasatan selepas mendapat perintah daripada Mahkamah Telok Datok, Banting pagi tadi.

"Siasatan awal mendapati dendam menjadi punca utama pelajar itu menikam bahu guru kaunselingnya sebanyak tiga kali menggunakan pisau.

"Suspek merupakan pelajar baru di sekolah itu menerusi kemasukan ke tingkatan empat baru-baru ini. Kemungkinan dia berdendam kerana guru tersebut menetapkan peraturan ketat di sekolah berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata guru tersebut yang sebelum ini menerima rawatan di Hospital Banting, telah dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian 8.20 malam itu, guru kaunseling itu cedera ditikam pelajar tersebut kerana marah bakal dikenakan tindakan buang sekolah atas kesalahan disiplin.

- Bernama

Lihat Komen
ADS