Paling Popular
Terkini
story images
story images

Sepuluh nelayan Bajau Laut (Sea Gypsies) diculik dipercayai oleh kumpulan bersenjata yang mempunyai kaitan dengan Abu Sayyaf di perairan Felda Sahabat 9, Lahad Datu awal hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata kesemua mereka yang diculik itu berusia antara 17 dan 60 tahun yang tiada dokumen pengenalan diri, sebaliknya hanya memiliki Surat Lepa-lepa sebagai pengenalan diri untuk mereka tinggal di negara ini.

"Kesemua mereka telah dibawa ke negara jiran (Filipina) oleh kumpulan penculik itu," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau berkata mereka adalah antara enam nelayan yang menaiki dua bot. Enam lagi nelayan diselamatkan.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu 10 nelayan dilapor diculik dari dua bot di Lahad Datu yang menuju ke Semporna.

Kesemua mangsa dipercayai dilarikan ke Pulau Sitangkai di Selatan Filipina, kira-kira 15 minit perjalanan dari perairan Tambisan, Lahad Datu.

Omar berkata polis telah membuka kertas siasatan kes penculikan itu dan mengambil kenyataan daripada enam nelayan yang terselamat serta membuat lakaran wajah penculik terlibat.

Beliau berkata berikutan insiden itu, Pasukan Polis Marin, Pasukan Gerakan Am bersama pasukan keselamatan yang lain telah meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan perairan timur negeri ini khususnya di kawasan perairan terlibat.

Minggu lepas, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador dalam wawancara dengan Bernama berkata ancaman Kumpulan Abu Sayyaf yang dipercayai berpangkalan di Jolo, Sulu di Filipina terhadap kepulauan di timur Sabah masih tinggi.

Beliau menegaskan serangan kumpulan itu boleh berlaku pada setiap hari dan pada bila-bila masa sahaja.

“Ini kerana Sabah tersangat dekat dengan Filipina, sekiranya jarak Semenanjung Malaysia dengan Sumatera boleh tahanlah, tapi di Sabah, hanya mengambil masa kira-kira 15 minit menaiki bot laju sudah boleh masuk ke perairan Filipina,” katanya.

Abdul Hamid berkata ia cukup senang untuk kumpulan Abu Sayyaf melintasi sempadan perairan negara ini dengan begitu mudah sekali.

- Bernama

Lihat Komen
ADS