Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kesedaran kepentingan vaksin Orang Asli rendah, kata menteri

Kesedaran mengenai kepentingan suntikan vaksin imunisasi dalam kalangan masyarakat Orang Asli di negara ini masih rendah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy.

Beliau berkata antara puncanya ialah kurang ilmu pengetahuan mengenai kepentingan mengambil suntikan serta cara hidup mereka yang kerap berpindah-randah sehingga menyebabkan pegawai kesihatan sukar memberi suntikan imunisasi kepada kanak-kanak kaum minoriti itu.

"Jadi, Kementerian Kesihatan bersama-sama Jakoa (Jabatan Kemajuan Orang Asli) akan melakukan pelbagai cara untuk memujuk Orang Asli supaya menerima suntikan vaksin bagi mengelak sebarang penyakit berjangkit.

"Saya berharap masyarakat Orang Asli mengambil berat kesihatan mereka dan mengambil iktibar apa yang terjadi terhadap penduduk Orang Asli di Kuala Koh di Gua Musang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis ramah mesra pemimpin bersama masyarakat Orang Asli Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang yang turut dihadiri Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu di Tapah, hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata antara faktor penyumbang kepada penularan jangkitan demam campak dalam komuniti Orang Asli suku Batek, Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan adalah liputan imunisasi measles yang rendah iaitu hanya 61.5 peratus bagi suntikan dos pertama vaksin Measles-Mumps-Rubella (MMR) dan 30 peratus bagi suntikan dos kedua.

"Pasukan kesihatan sukar untuk memberi perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh kerana cara hidup suku kaum ini yang kerap berpindah-randah. Kekurangan zat makanan juga menyumbang kepada risiko jangkitan dan kejadian komplikasi, " katanya.

Dr Dzulkefly berkata 37 daripada 112 pesakit Orang Asli suku Batek Kampung Kuala Koh yang dilaporkan mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, didapati dijangkiti wabak demam campak yang disahkan melalui ujian makmal.

- Bernama

Lihat Komen
ADS