Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Melaka beli air dari Negeri Sembilan
Diterbitkan:  Jun 19, 2019 4:24 PM
Dikemaskini: 8:24 AM

Kerajaan negeri Melaka akan menerima bekalan air pukal berjumlah 12 juta liter sehari daripada kerajaan Negeri Sembilan menerusi perjanjian persefahaman yang dimeterai hari ini berkuat kuasa sehingga 31 Dis 2020.

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkata menerusi perjanjian itu, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) akan membeli bekalan air bersih terawat daripada Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) pada harga RM1.40 per meter padu bagi kawasan di sempadan negeri Melaka.

Beliau berkata kawasa terlibat ialah Pulau Sebang, Jambatan Lubok China, Kuala Linggi, Kendung, Titian Bintagor, Pondoi, Batang Melaka, Sungai Rambai, Chohong, Tangkak dan Simpang Bekoh.

"Kerajaan negeri Melaka sangat prihatin tentang keperluan air bersih bagi rakyat di negeri ini dan perjanjian hari ini merupakan antara inisiatif yang dilakukan kerajaan negeri bagi memastikan bekalan air mencukupi selain mengatasi isu berkaitan kemarau panjang seperti yang berlaku bermula Februari hingga Mei lepas.

"Saya yakin perjanjian ini akan menjadi satu titik tolak kerjasama yang lebih erat antara kerajaan negeri Melaka dan Negeri Sembilan pada masa hadapan dan terima kasih pada kerajaan Negeri Sembilan yang membantu kami memastikan kesejahteraan dan keselesaan rakyat terjamin," katanya kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara SAMB dan Sains di Melaka, hari ini.

Perjanjian berkenaan ditandatangani Adly bagi kerajaan negeri Melaka dan Ketua Pegawai Eksekutif SAMB Datuk Mohd Khalid Nasir bagi pihak syarikat air itu manakala kerajaan Negeri Sembilan diwakili Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan Sains diwakili Pengarahnya Wan Rasdi Wan Ismail.

Sementara itu, Aminuddin berkata kerajaan Negeri Sembilan melihat perjanjian tersebut merupakan antara kerjasama yang dilakukan antara kedua-dua kerajaan negeri selain isu persempadanan kawasan antara Melaka dan Negeri Sembilan.

"Insya-Allah isu persempadanan ini khususnya di kawasan Kuala Linggi akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat kerana ia penting untuk pelaksanaan pembangunan di kawasan sempadan yang akan memberi manfaat kedua-dua pihak," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS