Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pendera binatang ada risiko bahayakan nyawa orang

Perunding Kaunseling Universiti Malaya (UM) Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata individu yang mencederakan binatang juga berisiko membahayakan nyawa masyarakat jika tidak dibendung daripada awal.

“Orang yang mencederakan haiwan boleh bahayakan masyarakat.

“Isu ini harus segera dibendung dan kita kena lihat mengapa mereka bertindak sedemikian,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi bagi mendapatkan pandangan berhubung laporan media tentang penyeksaan binatang.

Jelas Muhsin, individu yang mendera binatang cenderung mempunyai sikap pemarah dan tidak tahu mengawal tekanan.

“Mereka (golongan yang mendera binatang) ini ada personality impulsive dan antisosial.

“Lebih cenderung untuk bertindak secara melulu apabila tidak dapat mengawal marah berkenaan sesuatu perkara,” katanya.

Menurut Muhsin, perilaku antisosial merujuk kepada individu yang tidak bergaul dan tidak mempunyai perasaan belas kasihan kepada binatang.

Sebelum ini, media melaporkan seorang individu menjerut leher kucing sebelum menggantungnya di tangga hadapan rumah jiran hingga mati dan kemudiannya beredar.

Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tersebut tular di media sosial dan akhirnya menerima padah apabila dihukum penjara 15 bulan oleh Mahkamah Seksyen di Kuala Lumpur, 14 Jun lalu.

Selain itu, pada 23 Mei lalu Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman ke atas Al Azri Norhisham selepas mengaku bersalah menembak seekor monyet.

Pengaruh media sosial

Sementara itu, Muhsin menjelaskan, pengaruh media sosial antara faktor yang menyumbang kepada terjadinya isu penderaan binatang.

“Mereka yang memuat naik video penderaan tersebut sebenarnya pendorong kepada isu ini kerap terjadi.

“Ini kerana individu tersebut (yang terdorong melakukan penderaan) akan melihat dan meniru aksinya. Maka dengan itu saya berkata media sosial ini bahaya,” katanya.

Kata Muhsin lagi, penggunaan media sosial khususnya kanak-kanak perlu dipantau agar tidak terdorong melakukan kegiatan seperti penderaan tersebut.

“Zaman sekarang, media sosial jadi aliran yang semua orang boleh akses dan melihat pelbagai isu tanpa ditapis.

“Kanak-kanak kalau terdedah, mereka mungkin akan tergolong dari kumpulan antisosial yang mungkin membahayakan pembesaran mereka kelak,” katanya

Tambah Muhsin, interaksi bersama keluarga penting bagi mengurangkan masalah penderaan kepada binatang.

“Ibu-bapa kena ajar anak cara menyayangi haiwan, tunjuk contoh yang bagus.

“Ini supaya kita boleh kurangkan isu penderaan sebegini berlaku lagi,” katanya.

Kesedaran diri

Sementara itu, Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Fauziah Mohd Saad berkata kesedaran dalam diri perlu ada bagi setiap individu agar masalah ini boleh dikurangkan.

“Mereka (golongan mendera binatang) perlu ada kesedaran dan pupuk nilai ehsan terhadap haiwan.

“Mereka perlu sedar membuli dan mendera binatang itu adalah satu kesalahan besar,” katanya.

Tambah Fauziah, golongan yang mendera binatang harus diberikan hukuman yang setimpal.

“Betul tindakan untuk penjara mereka yang bersalah mendera dan membunuh binatang.

“Pihak bertanggungjawab juga boleh menyuruh individu terbabit melakukan kerja kemanusiaan agar boleh pupuk nilai moral dalam diri mereka,” katanya.

Lihat Komen
ADS