Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saksi beritahu dalam tekanan siapkan memorandum pinjaman SRC
Diterbitkan:  Jun 20, 2019 1:13 PM
Dikemaskini: 5:13 AM

KES NAJIB l Timbalan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau telah digesa untuk menyediakan dokumen bagi memorandum kepada Jemaah Menteri berhubung jaminan kerajaan bagi pinjaman RM2 bilion kepada Syarikat SRC International Sdn Bhd.

Afidah Azwa Abdul Aziz, 44, berkata beliau juga berada dalam tekanan dan merasa ragu-ragu terhadap permintaan untuk menyegerakan perkara itu.

Afidah Azwa mendedahkan perkara itu ketika disoal balas peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib Razak pada hari ke-29 perbicaraan kes bekas Perdana Menteri itu yang menghadapi tujuh pertuduhan berhubung dana SRC.

Muhammad Shafee: Puan ada buat kenyataan seolah-olah tak puas hati dokumentasi dikehendaki dari pihak puan. Puan ada bayangkan dalam penyataan bertulis puan mungkin perkara ini diminta disegerakan.

Afidah Azwa: Ya.

Muhammad Shafee: Kalau saya katakan perkara ini diminta untuk disegerakan tapi puan bukan digesa untuk siapkan perkara ini.

Afidah Azwa: Saya digesa.

Muhammad Shafee: Ada rasa ragu-ragu tak? Atau tak. Hanya digesa sahaja? Ada rasa kemusykilan atau suspicious (curiga)?

Afidah Azwa: Pada mulanya ya.

Muhammad Shafee: Rasa ragu? Musykil? Suspicious? Mungkin niat tak baik orang yang minta ni?

Afidah Azwa: Rasa ragu-ragu.

Muhammad Shafee: Apa yang menjadikan keraguan? Keraguan kepada apa?

Afidah Azwa: Kenapa perlu cepat.

Kepada soalan Muhammad Shafee, siapakah yang menggesanya, saksi itu menjawab: “Encik Maliami”.

Saksi itu memberitahu beliau ada bertanyakan kepada Maliami kenapakah perkara itu perlu dilakukan secara tergesa-gesa dan ketuanya memberitahu ia adalah arahan.

“Selepas terima arahan saya terus duduk bersama wakil Syarikat SRC untuk menyediakan memorandum,” kata saksi itu.

Kepada soalan Muhammad Shafee adakah beliau telah mencatatkan arahan yang menggesanya menyiapkan memorandum itu, saksi itu berkata beliau tidak ingat.

Ketika ditanya berhubung penyataan saksinya mengenai wakil SRC tidak responsif dalam memberi maklumat lengkap untuk menyediakan dokumen sedangkan saksi itu perlu menyegerakan memorandum, Afidah Azwa berkata: “betul”.

Saksi itu bagaimanapun berkata beliau ada memberitahu Maliami berhubung sikap wakil SRC itu namun tidak diambil perhatian.

Muhammad Shafee: Bila puan melaporkan ketidakpuasan puan berkenaan jawapan atau interaksi dengan wakil syarikat, Maliami tak begitu endah sangat, soalan saya adakah itu keadaan puan terima?

Afidah Azwa: Ya.

Muhammad Shafee: Selain Maliami, ada puan laporkan pada orang lain?

Afidah Azwa: Saya tak ingat.

Muhammad Shafee: Siapa bos kepada Maliami?

Afidah Azwa: Tan Sri Dr Irwan Serigar.

Muhammad Shafee: Puan boleh jumpa dia? Kalau puan rasa masalah ni ada. Kalau tak puas hati boleh jumpa kan?

Afidah Azwa: Bergantung.

Muhammad Shafee: Tapi dalam keadaan ni puan tidak jumpa?

Afidah Azwa: Tidak.

Muhammad Shafee kemudian mencadangkan kepada saksi itu bahawa beliau hanya diminta mempercepatkan proses memorandum dan tidak ada persoalan digesa namun saksi itu sekali lagi menegaskan bahawa beliau digesa.

Peguam itu turut menyarankan bahawa Afidah Azwa bukan digesa secara negatif, dan saksi itu menjawab: “Saya telah digesa. I work under duress. Memang saya digesa pada waktu itu,” katanya.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

- Bernama

Lihat Komen
ADS