Dr Mahathir Mohamad mempertahankan kenyataannya mengenai kaum Yahudi yang dibuatnya pada ceramah baru-baru ini di United Kingdom, yang menyaksikan dirinya dibidas pelbagai pihak, termasuk daripada pengarang dan wartawan Turki terkenal Mustafa Akyol.

"Tetapi itu pendapat saya," kata perdana menteri kepada pemberita selepas Majlis Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya petang ini.

Mahathir juga berkata masyarakat di Eropah sering menekankan kepentingan kebebasan bersuara tetapi meletakkan pelbagai syarat bersama.

"Mereka bercakap tentang kebebasan bersuara, (tetapi) saya tidak boleh kata (mengenai orang Yahudi). (Jadi) tidak ada kebebasan bersuara.

"Sebab itu saya kata orang Eropah ini double standard. Jika mereka suka (apa yang dikatakan), kebebasan bersuara... jika mereka tidak suka (tidak ada kebebasan bersuara)," katanya.

Mahathir pada ucapannya di Cambridge Union di United Kingdom pada Ahad lalu, antara lain mengatakan beliau hanya mengenali orang Yahudi yang terdiri daripada rakan-rakannya kerana mereka 'tidak seperti orang Yahudi' lain yang "cenderung ke arah wang".

"Saya mempunyai beberapa kawan Yahudi, sahabat baik, mereka tidak seperti orang Yahudi yang lain, itulah sebabnya mereka kawan saya," katanya.

Mahathir juga dilaporkan berkata pada hari itu: "Orang-orang Yahudi melakukan banyak perkara yang salah, yang memaksa kita untuk memberi komen.”

Ini mendorong Mustafa untuk mengkritik Mahathir di Twitter.

[Baca berita penuh]