BERITA Malaysiakini

SRC luluskan geran RM250 juta untuk program 'CSR'

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

KES NAJIB ] SRC International Sdn Bhd mengeluarkan geran RM250 juta untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

Bekas pengarah SRC International Suboh Md Yasin berkata Ihsan Perdana dilantik sebagai rakan CSR pada tahun 2014.

Suboh berkata beliau telah menandatangani surat pelantikan bersama CEO SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil.

"SRC mula mengetahui program CSR atas cadangan Nik Faisal yang memaklumkan SRC patut membantu mangsa banjir di kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia.

"Saya menimbulkan persoalan berkenaan peraturan syarikan dan isu-isu berhubung ‘compliance’ yang diperlukan kerana geran RM 250 Juta ini melibatkan penggunaan dana SRC.

"“Perkara tersebut telah dibincangkan dan dipersetujui oleh ‘pihak atas’ yang dikatakan oleh Nik Faisal adalah merujuk kepada Datuk Seri Najib.

"Maka saya berdiam diri dan perkara itu tidak dibincangkan lagi," kata Suboh ketika membacakan kenyataan saksinya.

RM250 juta dimasukkan ke akaun bank milik Ihsan Perdana atau akaun lain seperti yang dikehendaki oleh syarikat itu, katanya.

Bagaimanapun, menurut pengarah Ihsan Perdana, Dr Shamsul Anwar Sulaiman pada 15 Mei, Ihsan Perdana tidak menerima geran RM250 juta yang dinyatakan dalam surat pelantikan itu.

SRC International ditubuhkan pada tahun 2011 sebagai anak syarikat 1MDB dengan geran RM20 juta daripada Unit Perancang Ekonomi. Menjelang 2012, ia menerima pinjaman RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Tujuan syarikat ini adalah untuk melabur dalam industri strategik. 

Menjelang akhir 2015, SRC International terpaksa diselamatkan oleh kerajaan.

Menurut Suboh, Ihsan Perdana diwajibkan mengembalikan baki geran apabila tamat tempoh, tetapi syarikat itu tidak memaklumkan SRC International bagaimana geran itu digunakan.

Suboh berkata beliau membangkitkan isu-isu pematuhan dan diberitahu oleh Nik Faisal bahawa perkara itu telah dipersetujui oleh "pihak atas".

Merujuk kepada minit mesyuarat lembaga bertarikh 23 Ogos 2011 beliau berkata ahli lembaga pengarah Shahrol Azral Ibrahim Halmi mencadangkan pelaburan di Abu Dhabi tidak mempunyai "tarikh sasaran" dan "tiada visi yang jelas".

"Saya menyokong pandangan Encik Shahrol serta menambah yang 'appropriate due diligence be carried out'. Namun pada pengetahuan saya tiada tindakan yang diambil atas perkara berkenaan," katanya.

Suboh turut menyebut minit mesyuarat pada 13 Sep 2011 di mana beliau memberi amaran mengenai risiko melabur di Indonesia.

"Saya telah memberikan peringatan dan amaran kepada mesyuarat bahawa business landscape in Indonesia is different from Malaysia dan SRC perlu berhati-hati di dalam membuat pelaburan di sana.

"Saya berkata demikian kerana adalah tanggungjawab saya saya sebagai pengarah SRC untuk memastikan wang SRC dilabur dengan baik," katanya.