Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ribut landa Perlis, Kedah
Diterbitkan:  Jun 20, 2019 9:03 PM
Dikemaskini: 1:03 PM

Sebanyak tiga buah sekolah menengah dan 16 sekolah rendah di Perlis rosak di pukul ribut dan hujan lebat dalam kejadian pagi tadi, lapor Bernama.

Ketua Sektor Pembangunan dan Perkhidmatan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Sharifah Azatul Imma Syed Aziz dipetik Bernama berkata kerugian dianggarkan RM150,000.

Menurutnya, Sekolah Kebangsaan Tengku Budriah (SKTB) di Arau antara yang rosak teruk dalam kejadian tersebut.

Kebanyakan sekolah berkenaan mengalami kerosakan bahagian bumbung yang menyebabkan hujan memasuki bilik darjah, kata Sharifah Azatul.

Guru Besar SKTB Azhar Darus itu menjelaskan sesi persekolahan akan diteruskan seperti biasa dan murid akan ditempatkan di kelas lain sementara bangunan itu dibaiki.

Beliau memaklumkan dua kelas dipenuhi air selepas bumbung bangunan itu diterbangkan angin dan langkah segera diambil dengan mematikan semua sistem elektrik bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Sementara itu, Bernama turut melaporkan enam buah rumah dan sebuah sekolah kebangsaan di beberapa kampung di daerah Alor Setar, Kedah mengalami kerosakan akibat ribut yang berlaku pagi tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten Mohd Zain Bahrum dipetik Bernama berkata antara kampung terlibat ialah Kampung Sala Kechil dan Kampung Permatang Bongor di Mukim Sala Kechil, Kampung Sungai Bar, Kampung Alor Pial dan Kampung Permatang Gunung di Mukim Gunong dan Kampung Kota Rentang di Mukim Titi Gajah.

Semua rumah dan sekolah terbabit mengalami kerosakan di bahagian bumbung yang diterbangkan angin kuat, jelasnya.

“Pihak kami menerima 14 panggilan kecemasan bermula pukul 8.30 pagi berhubung kejadian ribut itu yang turut menyebabkan pokok tumbang.

“Tujuh kejadian berkaitan pokok tumbang dilaporkan iaitu dua kes di Hutan Kampung, satu kes di Mergong, dua kes di Anak Bukit, satu kes di Gunong dan satu kes di Bukit Pinang,” katanya.

Menurutnya lagi, Sekolah Kebangsaan Seri Pantai di Kuala Kedah mengalami kerosakan di dua buah kelas dan kesemua pelajar kedua-dua kelas terbabit dibenarkan pulang awal.

Ribut itu tidak menyebabkan kemalangan jiwa dan tiada mangsa yang dipindahkan, jelasnya lagi.

Lihat Komen
ADS