Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) mengenai pelantikan jawatan utama perkhidmatan awam menangguhkan pertemuannya dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang baru, Latheefa Koya.

Menurut pengerusi jawatankuasa berkenaan William Leong, Latheefa "tidak bersedia" ditanya beberapa soalan hari ini seperti yang dijadualkan pada awalnya dan meminta ditangguhkan sehingga 4 Julai.

"Dia minta ditangguhkan.

"Ia ditangguhkan ke Khamis 4 Julai, apabila parlimen bersidang - pada pukul 2.30 petang di Parlimen," kata Leong kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Anggota Parlimen Selayang dari PKR itu sebelum ini berkata PSC mahu menyoal Latheefa mengenai tiga isu berkaitan pelantikannya.

Isu berkenan adalah bagaimana Latheefa dapat menjalankan tugas dengan adil sebagai bekas ahli PKR; bagaimana beliau mampu memerangi rasuah sedangkan tiada pengalaman; serta visi dan misinya untuk agensi anti-rasuah itu.

Pelantikan Latheefa diumumkan awal bulan ini bagi menggantikan Mohd Shukri Abdull yang memendekkan tempoh perkhidmatannya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM lebih awal.

Bagaimanapun pelantikan Latheefa menerima kritikan hebat.

Beliau sebelum ini memimpin biro hal ehwal undang-undang PKR dan keluar daripada parti itu apabila diberi peranan baru oleh kerajaan bagi mengetuai SPRM.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata, keputusan memilih bekas peguam dari NGO Lawyers for Liberty itu sebagai muktamad.

Perdana Menteri juga berkata beliau tidak perlu berjumpa PSC kerana jawatankuasa itu "tidak lagi berfungsi secara sah" tanpa pindaan perlembagaan.

Sebagai respon, Leong meminta bertemu Mahathir untuk menjelaskan peranan PSC kepada perdana menteri itu. 

Ketika ditanya hari ini, beliau berkata PSC belum dapat bertemu perdana menteri.

Lihat Komen
ADS